Durian runtuh untuk pemenang pingat badminton Olimpik, Paralimpik

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (tengah) ketika sidang media selepas Majlis Penyampaian Insentif BAM di Akademi Badminton Malaysia. Turut sama Timbalan Presiden BAM Datuk V Subramaniam (kiri), Pengurus Pemasaran Kanan 100Plus Leong Wai Yin (kanan), Atlet Beregu Lelaki Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.
09/09/2021 06:14 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept  -- Pasangan beregu badminton negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik hari ini menerima durian runtuh atas kemenangan pingat gangsa mereka di Sukan Olimpik Tokyo 2020, baru-baru ini berjumlah RM180,000.

Pasangan yang buat pertama kalinya beraksi di Sukan Olimpik itu, menerima insentif RM120,000 daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan RM60,000 lagi daripada 100Plus dalam satu majlis diadakan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, di sini.

Barisan kejurulatihan beregu lelaki yang diketuai Flandy Limpele, juga menerima RM30,000 daripada BAM atas kejayaan tersebut.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (tengah) beramah mesra dengan pemenang pingat gangsa acara beregu lelaki Sukan Olimpik Tokyo Aaron Chia dan Soh Wooi Yik pada Majlis Penyampaian Insentif BAM di Akademi Badminton Malaysia

Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria juga mengumumkan pemenang pingat emas badminton Paralimpik yang pertama Cheah Liek Hou, yang kini dalam kuarantin selepas pulang daripada Tokyo pada Isnin, juga akan menerima insentif RM200,000, manakala jurulatihnya Datuk Rashid Sidek akan menerima RM50,000.

Aaron-Wooi Yik menang gangsa selepas menewaskan pasangan pilihan kedua dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, 17-21, 21-17 dan 21-1 4, dalam perlawanan penentuan tempat ketiga di  Musashino Forest Sports Plaza, pada 31 Julai.

Sementara Liek Hou pula menjadi pemenang pingat emas Paralimpik pertama bagi acara badminton, selepas acara itu buat pertama kalinya dipertandingkan di Paralimpik Tokyo, dengan menewaskan pemain nombor satu dunia Dheva Anrimushti dari Indonesia, 21-17, 21-15 pada perlawanan akhir perseorangan lelaki SU5 di Yoyogi National Stadium pada 4 Sept.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (kiri) menyaksikan penyampaian replika cek dari Pengurus Pemasaran Kanan 100Plus Leong Wai Yin (kanan) kepada pemenang pingat gangsa acara beregu lelaki Sukan Olimpik Tokyo Aaron Chia dan Soh Wooi Yik pada Majlis Penyampaian Insentif BAM di Akademi Badminton Malaysia --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

“BAM mengiktiraf kerja keras, komitmen dan pengorbanan pasukan, pemain-pemain ini meninggalkan semua untuk ke gelanggang, dan berjuang demi kebangaan dan kejayaan Jalur Gemilang. Aaron-Wooi Yik kini merupakan pemenang pingat Olimpik keenam dalam badminton.

“Sebelum ini, pemain akan berada dipuncak pada usia 26-27 tahun, namun kini kita mempunyai pemenang pingat Olimppik pada usia muda iaitu 24. Jadi kita akan mengekalkan pasukan ‘senior’ yang lebih muda dan pada masa yang sama telah ada satu pasukan elit daripada ‘junior’ yang akan bertanding dengan ‘senior’ dan pemain bebas dalam satu kejohanan yang sama,” kata Mohd Norza.

Sementara itu Mohd Norza berkata, BAM kini sedang melihat kemungkinan mengkaji semula gaji dan bonus kepada pemain dan jurulatih mengikut suku tahunan, berdasarkan kepada prestasi dan kedudukan ranking dunia.

“Sebagai contoh, saya melihat kepada peningkatan 100 peratus pada gaji pemain dan bonus mereka, jika mereka berada dalam kedudukan 10 pemain terbaik. Sebagai contoh, jika mereka menerima RM15,000 sekarang, dan jika mereka menduduki ranking kedua dunia, mereka akan menerima RM30,000 sebulan.

“Tetapi kita juga perlu mengekalkan ‘status quo’ untuk sebahagiannya. Kerana kita hanya mahu memastikan semua pemain kita berusaha sepenuhnya untuk menduduki 10 terbaik, secara amnya ia juga meliputi kemudahan mereka, tiket penerbangan kelas perniagaan dan perkara-perkara seperti itu,” katanya.

“Di pusat kecemerlangan ini, kami mengamalkan budaya baharu, iaitu kami akan memberikan ganjaran atas prestasi dan menjaga mereka, termasuk kebajikan. Pemain muda menunjukkan tekad dan mendapat inspirasi daripada kejayaan Aaron-Wooi Yik untuk melakukan dengan lebih baik lagi,” katanya.

Mohamad Norza juga mendedahkan dalam mesyuarat bersama pemain dan jurulatih, yang beliau berjanji akan memberikan insentif RM1 juta untuk setiap seorang, sama ada perseorangan ataupun acara beregu, jika mereka berjaya memenangi pingat emas Olimpik.

-- BERNAMA