“Together for a Shared Future”, slogan Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing

18/09/2021 04:41 PM

BEIJING 18 Sept  -- “Together for a Shared Future”, dipilih sebagai slogan Sukan Olimpik dan Paralimpik Musim Sejuk 2022 Beijing.

Slogan itu membawa makna “lebih cepat, lebih tinggi, lebih kuat dan lebih bersatu”, di samping mengetengahkan hasrat untuk bersama-sama menuju masa depan lebih gemilang.

Beijing, selaku “bandar tuan rumah Sukan Olimpik Musim Panas dan Sejuk” sekali lagi bakal berkongsi kegembiraan dan pelbagai perkara menarik mengenai China menerusi temasya sukan olimpik.

Di sebalik penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia, “together” bermaksud ketabahan umat manusia tatkala menghadapi kesukaran, manakala “for a Shared Future” pula menunjukkan cita-cita manusia untuk terus melangkah penuh harapan dan keyakinan menuju masa depan.

Datuk Bandar Beijing, Chen Jining merangkap Pengerusi Eksekutif Jawatankuasa Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing dalam ucapannya berkata, di bawah pimpinan pantas kerajaan China, pihaknya bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara untuk menyahut cabaran dan mengatasi rintangan sehingga membolehkan persiapan berjalan lancar dan mengikut jadual.

Slogan yang diumumkan pada Jumaat itu dijangka mampu menjadi daya tarikan kepada masyarakat untuk turut sama merasai kemeriahan  temasya Olimpik Musim Sejuk.

Ia juga dapat menyemarakkan semangat 'ringan sama dijinjing, berat sama dipikul'.

-- BERNAMA