Isu Muhammad Ziyad: MPM sudah peroleh rakaman CCTV dari penganjur

 Muhammad Ziyad Zolkefli (Gambar fail)
18/09/2021 06:32 PM

Oleh Amiril Muttaqien Meketar

KUALA LUMPUR, 18 Sept -- Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sudah memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Stadium Olimpik Tokyo daripada pihak penganjur Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada Sabtu lepas, berhubung isu melanda Muhammad Ziyad Zolkefli.

Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata rakaman CCTV itu diyakini mampu membantu pihaknya merungkai persoalan di sebalik kontroversi melibatkan jaguh lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) kebangsaan itu, pada temasya sukan berprestij tersebut di Jepun, baru-baru ini.

“Kami berjaya mendapatkan rakaman CCTV yang memaparkan situasi di bilik panggilan bermula dari pukul 5.45 petang sehingga 6.05 petang di mana Muhammad Ziyad dikehendaki melapor diri pada 5.55 petang,” katanya kepada Bernama hari ini.

Selain rakaman CCTV, Megat D Shahriman juga memberitahu pihaknya menerima maklum balas rasmi, masing-masing daripada penganjur dan Olahraga Para Dunia (WPA) berhubung rayuan kontinjen Malaysia berhubung isu berkenaan.

Bagaimanapun, beliau yang akan menamatkan tempoh kuarantin di sebuah hotel di sini pada esok selepas pulang dari Jepun 6 Sept lepas, enggan mendedahkan lebih lanjut butiran rakaman CCTV serta maklum balas diperoleh menerusi surat oleh penganjur dan WPA, kerana tidak mahu menjejaskan siasatan yang sedang berlangsung ketika ini.

“Saya akan bermesyuarat pada Selasa ini mengenai rakaman CCTV diperoleh sebelum membawa rumusan mesyuarat MPM, termasuk menyerahkan maklum balas rasmi penganjur dan WPA kepada satu lagi mesyuarat jawatankuasa siasatan kes Muhammad Ziyad ini, yang dijadual hujung bulan ini,” katanya.

Megat Shahriman memberitahu jawatankuasa siasatan akan memaklumkan lebih lanjut mengenai perkembangan isu Muhammad Ziyad serta tindakan seterusnya diambil Malaysia tidak lama lagi, selain menuntut orang ramai agar bersabar serta memberi ruang dan masa bagi pihak terlibat menyelesaikan isu tersebut dengan baik.

Pada 31 Ogos lepas, Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m), yang juga rekod baharu dunia.

Atlet berusia 31 tahun itu diklasifikasikan sebagai ‘Did Not Start (DNS)’ atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine, yang mendakwa beliau lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine Maksym Koval diumumkan sebagai pemenang pingat emas dengan lontaran 17.34 m, sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Pada 3 Sept, Kementerian Belia dan Sukan bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa siasatan dalaman yang diseliakan Majlis Sukan Negara (MSN) dengan penglibatan anggota bebas, berhubung pembatalan penyertaan dan kemenangan Muhammad Ziyad di temasya berkenaan.

-- BERNAMA