Wei Lun terima insentif dari kerajaan Johor

21/09/2021 02:53 PM

ISKANDAR PUTERI, 21 Sept -- Pemenang pingat perak Sukan Paralimpik Tokyo 2020 Chew Wei Lun mengetuai senarai atlet negeri Johor yang menerima insentif daripada kerajaan negeri itu di atas pencapaian cemerlang pada temasya sukan itu.

Chew menerima insentif berjumlah RM15,000 bagi kejayaannya meraih pingat perak dalam acara boccia selain imbuhan penyertaan pada temasya sukan itu, manakala seorang lagi atlet paralimpik Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin yang bersaing dalam acara olahraga T20 menerima RM5,000 sebagai insentif penyertaan.

Insentif tersebut disampaikan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, yang turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor Nor Syazlan Abd Razak.

Pada satu majlis ringkas yang diadakan di Bangunan Dato' Jaafar Muhammad di sini, Hasni berkata pembangunan kemudahan sukan akan dipertingkatkan selari dengan adanya jaguh atlet negeri ini, yang mencipta nama di peringkat antarabangsa.

“Saya rasa kita (kerajaan) juga akan melihat kepada kebajikan atlet, maka peranan persatuan sukan amat penting dalam membantu atlet supaya pencapaian mereka dapat dipertingkatkan,” katanya kepada pemberita selepas penyampaian insentif tersebut, hari ini.

Hasni berkata peranan persatuan sukan juga penting terutama bagi kelangsungan atlet, terutama apabila mereka tidak dapat lagi beraksi atas faktor usia serta kesihatan, dan pengalaman dan ilmu yang ada pada mereka sepatutnya dapat terus dimanfaatkan untuk kemajuan sukan berkenaan pada masa hadapan.

Selain Chew dan Siti Noor Iasah, dua jurulatih Sallehudin Mohd Noh (para basikal) dan Muhammad Ashaari Zainal Abidin (para tenis) turut menerima RM5,000 setiap seorang.

Turut menerima insentif penyertaan ialah mereka yang menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020 iaitu atlet berbasikal Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Nur Aisyah Jamil (pelayaran), Kelly Tan Guat Chen (golf) dan Syaqiera Mashayikh (memanah).

Bagaimanapun, Nur Aisyah, Kelly Tan dan Syaqiera diwakili ibu bapa masing-masing. Kesemua mereka menerima RM5,000 setiap seorang.

Ketika ditemui pemberita, Wei Lun, 26, berterima kasih atas penghargaan daripada kerajaan negeri kepadanya dan rakan-rakan atlet, yang disifatkannya sungguh bermakna.

“Pada awalnya saya sertai Sukan Paralimpik ini, tak letak sasaran pun, cuma nak perkenalkan sukan ini kepada rakyat, tapi tak sangka dapat pingat. Untuk akan datang, belum ada sebarang perancangan,” katanya.

Atlet kelahiran Johor Bahru itu menampilkan aksi cemerlang pada penampilan sulungnya di temasya sukan berprestij itu, dengan rekod tanpa kalah sepanjang pertandingan sebelum tewas 2-4 kepada juara bertahan, yang juga atlet nombor satu dunia dari Great Britain, David Smith pada perlawanan akhir yang berlangsung di Pusat Gimnastik Ariake.

 -- BERNAMA