Kejohanan Dunia bakal penutup tirai perlumbaan tahun ini - Shah Firdaus
ISKANDAR PUTERI, 21 Sept -- Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Perancis bulan depan bakal menjadi “aksi terakhir” pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom, di pentas antarabangsa sebelum menutup kalendar perlumbaannya tahun ini.
Pelumba berusia 25 tahun itu berkata keputusan untuk beraksi pada perlumbaan itu dibuat, selepas berbincang dengan jurulatih John Beasley serta keluarganya di Muar.
“Memang kami tengah buat persediaan di Nilai untuk kejohanan itu yang dijangka diadakan pada 20 Okt. Sebelum ini, saya masih berbincang dengan jurulatih, sama ada pergi atau tidak.
“Tetapi selepas balik jumpa keluarga, saya rasa baik saya pergi sebagai ‘aksi penutup perlumbaan’ untuk tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan insentif kepada atlet Johor yang menyertai Sukan Olimpik dan Paralimpik di Bangunan Dato' Jaafar Muhammad di sini hari ini.
Terdahulu, atlet kelahiran Muar itu menerima RM5,000 sebagai insentif penyertaan pada temasya sukan itu, yang disampaikan Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Muhammad.
Muhammad Shah Firdaus, yang akan membuat penampilan ketiga pada kejohanan dunia itu bersama-sama rakan sepasukan Muhammad Fadhil Mohd Zonis, dijangka berlepas ke Perancis pada 10 Okt ini.
Ketika ditanya mengenai kecederaan dialaminya ketika Sukan Olimpik Tokyo 2020, pelumba berusia 25 tahun itu berkata beliau sudah sembuh sepenuhnya daripada kecederaan.
“Luka-luka seminggu dua dah okay. Cuma hentakan hari itu ambil masa sebulan untuk pulih. Bila saya tarik nafas dan batuk, terasa sakit. Alhamdulillah, saya kini sudah 100 peratus pulih daripada kecederaan dan bersedia untuk perlumbaan pada bulan hadapan,” katanya.
Muhammad Shah Firdaus berkata beliau tidak meletakkan sebarang sasaran, sebaliknya bertekad untuk menampilkan kayuhan terbaik pada kejohanan itu.
Mengenai sesi latihan di Australia, pelumba muda itu masih menunggu pembukaan sempadan negara berkenaan yang masih ditutup sebelum menyambung latihan di sana.
Pada temasya Olimpik Tokyo, Ogos lepas, Muhammad Shah Firdaus terbabit dalam kemalangan di pertengahan perlumbaan saringan kedua acara keirin di pusingan awal, sehingga menyebabkan kecederaan di bahu kirinya.
Namun, dia bangkit pada saingan repechage dan menduduki tempat kedua, sekali gus mara ke suku akhir acara keirin.
Pemenang pingat perak acara keirin di Kejohanan Asia 2019 di Jakarta itu, juga pernah mengetepikan pelumba nombor satu negara Datuk Azizulhasni Awang dalam acara sama di Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia 2021 pada Mac lepas.
-- BERNAMA