Hari Penglihatan Sedunia 2021: Peringati komuniti kurang upaya penglihatan

Wong Kar Gee (gambar fail)
15/10/2021 12:21 AM

KUALA LUMPUR, 14 Okt  -- Hari Penglihatan Sedunia sudah disambut selama 31 tahun di seluruh dunia hari ini.

Sebagai satu hari sambutan khusus kepada golongan kurang upaya penglihatan, Bernama menemu ramah beberapa individu bukan hanya untuk memperingati sumbangan mereka kepada masyarakat tetapi perjuangan dan kesungguhan mereka untuk berjaya dalam hidup biarpun menghadapi pelbagai rintangan. 

Atlet Paralimpik Wong Kar Gee berkata beliau tidak pernah memikirkan kekurangan penglihatannya sebagai satu penyakit dan halangan untuk beliau mencapai matlamat hidup. 

Bahkan, beliau berkata berpeluang bertanding di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 memberikannya satu pengalaman paling berharga yang mampu diraihnya walaupun tidak memenangi sebarang pingat. 

"Apabila saya melakukan persiapan untuk berlepas ke Tokyo, saya diberitahu Jawatankuasa Paralimpik bahawa saya tidak perlukan pembimbing saya kerana saya bukan buta sepenuhnya dan jurulatih saya tidak dapat turut serta kerana kuota kehadiran peserta yang terhad.

Proses ini tidak dijelaskan dengan baik kepada saya oleh pihak berkaitan tetapi rakan atlet saya dan jurulatih mereka dari Sabah banyak membantu membimbing saya dan membantu pergerakan saya di sana," katanya.

Wong, 30, yang bertanding dalam kategori lompat jauh menghidap penyakit "Stargardt" yang menjejaskan retina matanya membuatkannya hilang sebahagian besar penglihatan di bahagian tengah sementara penglihatan persisiannya masih tajam.

“Saya berusia lapan tahun ketika saya tidak dapat melihat muka surat buku piano saya semasa pembelajaran. Saya juga mendapati ia merupakan penyakit yang diwarisi walaupun ahli keluarga saya tidak pernah mengalaminya,” katanya.

Seorang lagi atlet paralimpik Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais , 23,  peserta acara berbasikal tandem dalam Paralimpik Tokyo berkata cikgunya yang memberi inspirasi kepada beliau supaya menceburi sukan untuk membuktikan kepada insan lain bahawa seorang kurang upaya penglihatan mampu melakukan apa yang orang normal boleh buat dan berusaha untuk mencapai kemenangan.

Nur Azlia yang buta kongenital sejak lahir berkata beliau telah belajar hidup dengan keadaannya setelah didiagnosa awal dan menerima pendidikan di  Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Alma (SKPK) di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Biarpun menghadapi cabaran dalam pertandingan sulungnya di Fuji International Speedway, Nur Azlia masih menganggapnya sebagai satu pengalaman berharga.

"Saya terpisah dengan atlet-atlet lain kerana kuarters latihan saya di Velodrom Izu, kira-kira tiga jam perjalanan dari Tokyo kerana pertandingan berbasikal tandem selalu diadakan di Fuji International Speedway.

Pengalaman keseluruhan saya di sana adalah indah. Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) di sana amat memahami dan saya ada rakan sepasukan dan jurulatih saya di sana untuk membantu saya membiasakan diri dengan kawasan itu," katanya.

Sementara itu, Anna Loo Soon Nyong, 51, seorang tukang urut daripada pusat urut "The Blind Touch" di Brickfieds berkata beliau hilang keupayaan penglihatan ketika berusia 15 tahun kerana buta kortikal akibat meningitis yang menjangkiti saraf tunjangnya.

Loo menganggap dirinya bertuah kerana selepas meninggalkan bangku sekolah, beliau diberikan biasiswa untuk menghadiri kursus setahun dalam Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (IT) di Sekolah Overbrook untuk Orang Buta  di Philadelphia, Amerika Syarikat pada 1991, yang membolehkannya bekerja sebagai seorang telefonis sebuah bank selama 10 tahun sebelum berhenti kerja dan menemukan kerja baharu sebagai tukang urut.

Jacqueline Emmanuel, Pengurus Kanan untuk Unit Perkhidmatan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) pula menggesa semua warga Malaysia untuk menganggap komuniti kurang upaya penglihatan sebagai setara dan mereka juga patut diberikan lebih peluang  dalam pasaran kerja.

"Individu kurang upaya penglihatan bukannya satu halangan kepada tenaga kerja," kata wanita itu yang hilang penglihatannya ketika berusia lewat 20-an kerana retinitis pigmentosa, sejenis penyakit genetik yang menjejaskan kemampuan sel retina untuk memberikan respons kepada cahaya yang mengakibatkan pandangan kabur dan dalam sesetengah kes menyebabkan buta.  

“Sebahagian daripada rehabilitasi saya sebagai seorang kurang upaya penglihatan, saya diajar bagaimana menggunakan sebuah komputer khususnya untuk membaca skrin dan ia banyak  membantu kerja saya selain daripada kehidupan seharian untuk berhadapan dengan kekurangan saya," katanya. 

Bersempena Hari Penglihatan Sedunia, hari ini MAB mengagihkan 300 bakul makanan kepada komuniti kurang upaya penglihatan yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya untuk membantu mereka menghadapi pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan kewangan mereka.

Menurut perangkaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, terdapat 51,457 orang kurang upaya penglihatan berdaftar di seluruh negara tahun ini.

-- BERNAMA