V Shem-Wee Kiong beraksi kali terakhir pada kejohanan dunia di Sepanyol

Gambar fail: Goh V Shem (kanan) dan Tan Wee Kiong (kiri)
16/10/2021 12:22 AM

KUALA LUMPUR, 15 Okt  -- Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem berhasrat untuk membuat penampilan terakhir bersama gandingannya Tan Wee Kiong pada Kejohanan Badminton Dunia 2021 dari 12 hingga 19 Dis ini di Huelva, Sepanyol.

Walaupun perjalanan sukar menanti pasangan nombor 13 dunia itu, V Shem optimis mereka mampu merangkul gelaran sebelum mereka berpisah demi kebaikan bersama selepas beraksi di Sepanyol.

“Sudah tentu kami mahu muncul juara di Sepanyol tetapi bukan mudah melakukannya. Saya harap kami dapat mempersiapkan diri dengan baik dan bermain sebaik mungkin dalam penampilan terakhir ini,” katanya kepada pemberita selepas dilantik sebagai Duta Vanilla Crepe dalam satu majlis sebuah hotel di sini hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (kiri) bersama Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Suhardi Alias (kanan) bergambar selepas Majlis Menandatangani Memoradum Persefahaman (MoU) antara duta baharu Vanilla Mille Crepe Goh V Shem (dua, kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Vanilla Mille Crepe Nelson Liew (dua, kanan) di sebuah hotel hari ini. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Selepas mengumumkan untuk berpisah selepas tujuh tahun pada Ogos tahun lalu, gandingan profesional itu membuat pusingan U sebulan kemudian apabila bersetuju untuk melakukan aksi terakhir di Sepanyol.

Beregu tersebut merupakan antara 48 beregu layak bersaing pada pusingan kelayakan Kejohanan Dunia dalam senarai yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) baru-baru ini.

V Shem, 32, akan membuat penampilan sulung bersama Low Juan Seen pada kejohanan Terbuka Denmark dari 19 hingga 24 Okt ini manakala Wee Kiong akan berganding dengan Tan Kian Meng.

Ditanya sasaran di Denmark, V Shem berkata ia masih terlalu awal untuk menilai prestasi dengan pasangan baharu itu tetapi berharap untuk melakarkan persembahan terpuji di Odense Sports Park nanti.

-- BERNAMA