CMG anjur Forum Inovasi Media Global

Gambar kredit CMG
27/01/2022 06:00 PM

BEIJING, 27 Jan -- Kumpulan Media China (CMG) dengan kerjasama Jawatankuasa Olimpik China dan Jawatankuasa Penganjur Olimpik Musim Sejuk Beijing buat julung kalinya menganjurkan Forum Inovasi Media Global, pada Rabu.

Forum yang turut mendapat kerjasama Kementerian Sains dan Teknologi itu berlangsung dengan tema "Berusaha  Bersama Wujudkan Olimpik Musim Sejuk Berteraskan Teknologi Canggih" (“Together for a High-tech Winter Olympics”) serta disertai 145 petugas media dan pertubuhan antarabangsa dari 78 buah negara dan wilayah secara maya.

Penganjuran forum tersebut turut diserikan dengan ucapan tahniah dari Presiden China, Xi Jinping melalui kiriman surat.

Xi dalam perutusannya yang dibaca oleh Presiden CMG, Shen Haixiong berharap pengamal media dapat berbincang, berinteraksi dan berkongsi maklumat, serta membantu menonjolkan keistimewaan sukan ais dan salji, sekali gus menyemarakkan semangat Olimpik.

Xi meletakkan harapan tinggi terhadap peranan penting media terhadap kejayaan Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing.

Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach turut mengucapkan tahniah terhadap perasmian forum itu dan berharap ia membuahkan hasil cemerlang.

Tambahnya, sejak beberapa dekad lalu, CMG dan Stesen Televisyen Pusat China (CCTV) antara rakan kongsi mesra IOC yang sentiasa berusaha mempersembahkan kandungan menarik Sukan Olimpik kepada rakyat China.

Justeru, dengan pelancaran saluran televisyen Olimpik CMG, kerjasama antara kedua-dua pihak kini berada pada tahap baharu, katanya.

Pada edisi pertama, forum itu mempamerkan teknologi inovatif liputan siaran Sukan Olimpik Musim Sejuk CMG,  memeterai perjanjian perkhidmatan berita khas "Meet the Winter Olympics", dan melancarkan dokumentari bertemakan Olimpik Musim Sejuk  yang bertajuk "Flying Over the Ice and Snow Line" yang dirakam bersama CMG dan Insight TV Belanda.

Antara keputusan yang dijangka dapat dicapai menerusi forum itu adalah, CMG dengan organisasi media antarabangsa seperti Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik, Kesatuan Penyiaran Negara-negara Arab,  pertubuhan Pertukaran Akhbar Eropah (European News Exchange) (ENEX) dan Kesatuan  Penyiaran Amerika Latin dan Caribbean (Latin American and Caribbean Broadcasting Union ( ULCRA) ), bersama-sama mengeluarkan "Inisiatif Bersama Forum Inovasi Media Global Pertama".

Selain itu, forum bertemakan "Olimpik Musim Sejuk Pintar, Melangkah ke Masa Depan Bersama", "Menonton Sukan Olimpik Musim Sejuk bersama-sama" dan "Teknologi Canggih Liputan CMG untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk" serta sub-forum Amerika Utara dijangka turut akan diadakan.

-- BERNAMA