Badminton: Kelayakan Race To Paris bermula 1 Mei 2023

01/05/2022 11:05 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengumumkan bahawa tempoh kelayakan ke Olimpik 2024, dikenali sebagai “Race to Paris” ditetapkan bermula dari 1 Mei 2023. 

Menurut BWF tempoh kelayakan itu akan berlangsung hingga 28 April 2024 dengan senarai awal kelayakan akan disahkan berdasarkan kepada mata ranking “Race to Paris” pada 30 April 2024, yang diluluskan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Badan induk badminton dunia itu juga mengesahkan bahawa jumlah kuota badminton kekal 172 tempat (86 lelaki dan 86 wanita), termasuk dua tempat negara tuan rumah dan empat tempat kesejagatan selain kuota biasa 166 tempat.

Setiap negara mempunyai kuota maksimum lapan tempat masing-masing bagi lelaki dan wanita.

BWF memaklumkan bagi acara perseorangan lelaki dan wanita, setiap negara boleh mempunyai kuota maksimum dua tempat jika pemain tersebut berada pada kedudukan 16 terbaik dalam ranking “Race to Paris”.

“Keseluruhan terdapat 35 tempat, satu tempat bagi negara tuan rumah dan dua tempat kesejagatan yang akan disahkan oleh Suruhanjaya Tiga Pihak selepas tamat tempoh kelayakan.

“Setiap acara perseorangan juga mesti mempunyai sekurang-kurangnya dua atlet daripada setiap lima konfederasi benua, dengan syarat pemain itu berada dalam kedudukan 250 teratas,” kata BWF dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi beregu, setiap negara mempunyai kuota maksimum dua tempat jika kedua-dua pasangan berada pada kedudukan lapan terbaik pada tarikh kelayakan dan harus ada sekurang-kurangnya satu pasangan daripada setiap lima konfederasi benua, dengan syarat mereka berada dalam ranking 50 terbaik pada tarikh kelayakan.

“Memandangkan kelayakan dalam semua acara, tiada Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) boleh melayakkan atlet/pasangan dalam lebih daripada dua acara menerusi sistem tempat perwakilan benua ini,” katanya.

-- BERNAMA