Mathias-Alexandra lepasi halangan Watanabe-Higashino

Mathias Christiansen dan Alexandra Boje
29/06/2022 03:10 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Kegagalan adalah permulaan kepada sebuah kejayaan. Itu adalah ungkapan sesuai buat beregu campuran utama Denmark Mathias Christianses-Alexandra Boje.

Selepas tewas kepada pasangan ketiga dunia dari Jepun Yuta Watanabe-Arisa Higashino dalam enam perlawanan sebelumnya, pasangan di ranking ke-15 itu akhirnya berjaya menewaskan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo itu hari ini.

Pada perlawanan pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2022, Mathias-Alexandra dipaksa bekerja keras sepanjang lebih satu jam sebelum menyingkirkan Watanabe-Higashino 15-21, 21-17, 22-20 di arena Axiata.

Pasangan Denmark itu dijadual berdepan gandingan Singapura Terry Hee Yong Kai-Jessica Tan Wei Han pada pusingan kedua esok.

Ketika ditemui Bernama, Mathias berkata mereka yakin mampu melakukan kejutan apabila bermain dengan baik pada set kedua dan mereka melakukan yang sepatutnya untuk memastikan naib juara Kejohanan Dunia menamatkan kempen lebih awal.

“Kami tewas dalam semua pertemuan sejak tiga tahun lepas, mereka sentiasa menyekat kemaraan kami, dan kali ini kami berjaya mengatasi mereka. Saya rasa sangat lega.

“Kami jangkakan satu lagi cabaran sengit berdepan pasangan Singapura kerana saya dapat rasakan mereka dapat bermain dengan sangat bagus dan tahap tinggi. Mereka juga hampir menewaskan juara Olimpik (Wang Yilyu-Huang Dongping dari China) di Terbuka Indonesia baru-baru ini. Kami akan ikuti perancangan yang dibuat dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Alexandra menyifatkan kejayaan hari ini adalah kemenangan terbesar yang meningkatkan kembali keyakinan mereka pada kejohanan kali ini.

Terdahulu, dalam saingan perseorangan wanita, Iris Wang dari Amerika Syarikat mengejutkan bekas pemain nombor satu dunia dari India Saina Nehwal dengan 21-11, 21-17 manakala dalam perseorangan lelaki pula Kento Momota dari Jepun mendapat kemenangan percuma ke pusingan kedua selepas pemain Thailand Kantaphon Wangcharoen menarik diri.

-- BERNAMA