Sukan Komanwel: Sasaran pingat, persediaan atlet dibincang pada mesyuarat MoM

Datuk Shahrul Zaman Yahya
04/07/2022 11:30 AM

IPOH, 4 Julai (Bernama) -- Perubahan sasaran pingat emas negara pada Sukan Komanwel, Birmingham 2022 susulan ketiadaan penyertaan dua atlet sandaran, Lee Zii Jia dan S Sivasangari serta perkembangan persiapan atlet akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan datang.

Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata pihaknya masih menunggu tarikh mesyuarat bagi menentukan sasaran unjuran susulan penarikan diri perseorangan lelaki badminton negara dan atlet skuasy negara yang tidak dapat beraksi disebabkan kemalangan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak berkata pihaknya masih menunggu tarikh mesyuarat berkenaan, yang difahamkan mungkin diadakan pada 15 Julai ini.

Pasukan Terangganu meraikan kejayaan mereka apabila muncul juara pada acara Lelaki Terbuka dan Wanita Bawah 21 merebut Piala Ung Khek Cheow Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan 2022 yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak Khairul Shahril Mohamed di Stadium Ragbi Perak hari ini. Terengganu berjaya mempertahankan kejuaraan 2019 Kategori Lelaki Terbuka apabila berjaya menewaskan Negeri Sembilan 19-0, manakala bagi kategori Wanita Bawah 21 dengan menewaskan Selangor 15-10. Turut hadir Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia Datuk Shahrul Zaman Yahya. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

"Jadi dalam mesyuarat itulah nanti akan dibuat dan semak balik unjuran malah kita juga perlu berbincang dengan Majlis Sukan Negara untuk memantau persiapan atlet jadi mesyuarat pada tarikh itu atau mungkin lebih awal," katanya.

Beliau yang juga Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas penyampaian hadiah Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan 2022 oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak Khairul Shahril Mohamed di Stadium Ragbi Perak di sini, semalam.

-- BERNAMA