Sukan Komanwel: Skuad Boling Padang berlepas awal serasikan gelanggang

04/07/2022 04:06 PM

Oleh Muhammad Afiff Md Adnan

SEPANG, 4 Julai (Bernama) -- Skuad boling padang negara mengambil inisiatif berlepas awal ke Birmingham bagi menghadapi Sukan Komanwel 2022, biarpun acara sukan berkenaan hanya akan bermula pada 29 Julai hingga 8 Ogos.

Pemain boling padang wanita negara, Siti Zalina Ahmad berkata beliau bersama atlet lain mengambil pendekatan membuat penyesuaian keadaan padang serta cuaca membabitkan beberapa kelab berdekatan venue pertandingan, Victoria Park Bowling Greens dalam usaha memberikan aksi terbaik.

Katanya keadaan padang di Lillington Bowling Club dan Desborough Bowling Club tidak jauh beza dengan venue pertandingan.

"Pada edisi Sukan Komanwel kali ini kami kurang pendedahan iaitu pertama kali skuad pergi adalah pada tahun lepas namun tak dapat gunakan venue itu sepenuhnya berikutan musim sejuk dan kali kedua kami pergi (Siri Ujian Empat Negara) adalah dua bulan lepas.

"Jadi kami datang lagi kali ini untuk sesuaikan balik kerana sudah tentu dalam tempoh beberapa bulan ini semestinya keadaan venue berubah dari segi angin dan sudut bagi melakukan balingan," katanya kepada Bernama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi atlet wanita Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman berkata beliau mahu segera membuat penyesuaian dalam usaha meraih pingat pada penampilan sulungnya di pentas temasya itu.

"Ini kejohanan besar pertama dan saya sasar untuk bawa pingat bukan hanya untuk menimba pengalaman. Keserasian dengan pemain lain dan pemain senior yang pernah menyumbang pingat dalam masa sama, saya percaya dapat mencapai sasaran pingat ditetapkan," katanya.

Seramai 10 pemain negara melibatkan masing-masing lima atlet lelaki dan wanita akan bersaing dalam empat acara iaitu single, pairs, triples dan fours pada temasya sukan tersebut.

Sebelum ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) menetapkan sasaran dua pingat untuk pasukan boling padang negara dalam kejohanan berkenaan dengan satu daripadanya pingat emas.

Pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Siti Zalina dan Emma Firyana Saroji menyumbangkan pingat emas buat kontinjen negara dalam acara berpasangan wanita (pairs). 

-- BERNAMA