Birmingham 2022: Rekod peribadi, pencapaian semasa jadi sandaran buru enam emas - CDM

Datuk Shahrul Zaman Yahya (Gambar fail)
20/07/2022 03:21 PM

IPOH, 20 Julai (Bernama) -- Rekod peribadi dan pencapaian semasa atlet negara diambil kira sebelum dijadikan sebagai sasaran baharu dalam memburu enam pingat emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Ketua kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel 2022 Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata sasaran itu dianggap realistik berdasarkan rekod dan pencapaian atlet Malaysia dalam acara atau pertandingan yang ditandingi mereka sebelum ini berbanding atlet negara lain. 

“Insya-Allah dengan atlet yang ada kita akan mencapai sasaran tersebut. Ada yang tanya, kenapa kita turunkan sasaran dari edisi Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia. Kita kena realistik...yang jadi ukuran kita sekarang adalah rekod peribadi dan pencapaian atlet.

“Kita buat sasaran enam emas itu sebab kita sudah buat perbandingan rekod atlet kita dengan negara lain,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri kepada Bernama selepas penangguhan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Sebelum ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyasarkan tujuh emas menerusi badminton (dua emas) manakala gimrama, boling padang, angkat berat dan skuasy serta powerlifting masing-masing satu emas.

Namun sasaran tersebut berubah susulan penarikan diri jaguh perseorangan badminton negara Lee Zii Jia dan atlet skuasy wanita negara S. Sivasangari yang tidak dapat beraksi kerana terlibat dalam kemalangan.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faisal Azumu mengumumkan sasaran baharu enam emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan ia adalah realisitik susulan beberapa faktor menimpa atlet negara.

Kontinjen Malaysia diketuai Shahrul Zaman dan 105 atlet yang menyertai 14 jenis sukan termasuk empat sukan para, dijangka berlepas ke Birmingham, England secara berperingkat mulai Sabtu ini.

Pada Sukan Komanwel 2018, kontinjen negara meraih tujuh pingat emas, lima perak dan 12 gangsa.

-- BERNAMA