Tokoh sukan hadir beri penghormatan terakhir kepada Kok Chi

Kredit foto: FB Faizal Azumu
20/07/2022 10:56 PM

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Tokoh sukan, menteri dan orang ramai hari ini memberikan penghormatan terakhir kepada bekas Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM),  mendiang Datuk Sieh Kok Chi, di Nirvana Center di sini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; bekas perenang kebangsaan Datuk Robert Lim; bekaspemain badminton negara, Ang Li Peng dan bekas Presiden Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk S. Vegiyathuman, antara hadiran.

Ahmad Faizal berkata mendiang merupakan antara tokoh sukan yang menjadi teladan buat anak muda negara terutamanya dalam pembangunan sukan tanah air.

“Mendiang seorang tokoh sukan yang tiada galang gantinya, beliau mengorbankan hidupnya kepada sukan Malaysia, selaku bekas Setiausaha Agung di  Majlis Olimpik Malaysia (MOM), beliau banyak berjasa kepada negara.

“Sebelum ini, apabila memikirkan calon penerima Anugerah Tokoh Sukan 2019-2020, tanpa saya berfikir panjang beliau layak dapat, malang sekali beliau tidak dapat datang sendiri untuk menerimanya,” katanya kepada pemberita di sini.

Robert, yang merupakan rakan karib Kok Chi, ketika ditemui Bernama, menyifatkan mendiang seorang yang adil ketika memegang jawatannya sebagai Setiausaha Agung di MOM.

“Walaupun kami tamatkan karier kami sebagai perenang negara, tetapi beliau telah melakukan banyak inisiatif untuk mengubah badan induk itu sehingga dapat melihat kejayaan hari ini.” katanya.

Vegiyathuman, yang juga rakan baik Kok Chi, turut meluahkan rasa sedihnya apabila kehilangan rakan yang begitu baik dan komited semasa berkhidmat di MOM. 

“Saya kehilangan seorang sahabat yang baik, dialah yang memberi inspirasi kepada saya, sangat berpengetahuan serta sukan di sentuhan hujung jarinya. Saya banyak belajar daripadanya,” katanya sambil menahan sebak.

Suasana hiba di Nirvana Center dengan ahli keluarga mendiang dan kakitangan MOM sebak dan kelihatan bergenang air mata sepanjang upacara itu.

Kok Chi meninggal dunia pada Sabtu lepas pada usia 83 tahun.

Semalam, adik-beradik mendiang mengumumkan berita pemergiannya dengan upacara memberi penghormatan terakhir akan diadakan selama dua hari bermula hari ini sebelum upacara pengebumian pada jam 10 pagi, Jumaat ini.

-- BERNAMA