Birmingham 2022: Perenang muda Bryan Leong harap beri persembahan terbaik

Gambar ihsan daripada Bryan Leong
21/07/2022 03:05 PM

Oleh R. Vikneswaran

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Mencabar perenang dan atlet Olimpik terbaik untuk meraih kedudukan podium pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, mungkin menjadi tugas sukar buat perenang muda Bryan Leong.

Bagaimanapun, atlet kelahiran Kuala Lumpur berusia 19 tahun itu percaya beliau mampu sekurang-kurangnya memperbaiki prestasi peribadinya dalam acara 50 meter (m) gaya bebas, 50m dan 100m kuak kupu-kupu dalam penampilan sulungnya di Sukan Komanwel yang dijadualkan berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Mahasiswa bidang neurosains dan psikologi di King's College London yang memecahkan rekod kebangsaan pada Sukan SEA Hanoi Mei lepas berharap, kem latihannya di Tenerife, Sepanyol baru-baru ini akan membantu beliau menjadi lebih pantas di Sandwell Aquatics Centre nanti.

“Saya agak gementar tetapi sangat teruja dan menantikan temasya sulung saya. Saya amat bersyukur kerana diberi peluang mewakili negara dalam pertandingan besar ini. Ia akan menjadi pengalaman luar biasa.

“Pastinya saya akan memberikan 100 peratus dan berenang dengan baik kerana saya ingin terus maju dalam mencapai prestasi terbaik saya dalam semua acara, dan mungkin layak ke separuh akhir,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di England.

Bryan kini memegang rekod peribadi terbaik iaitu 24.48 saat (s) dalam acara 50m kuak kupu-kupu, 54.09s bagi 100m kuak kupu-kupu dan merekodkan 23.09s untuk acara 50m gaya bebas, yang juga rekod kebangsaan dengan memadam rekod yang dilakar Keith Lim pada 2018 iaitu 23.10s.

Mengulas mengenai persiapannya, beliau berkata program latihan dengan universitinya dan sebuah kelab renang tempatan berjalan dengan baik.

“Mereka sangat menyokong program renang ini. Saya baru pulang daripada kem latihan persiapan elit di Tenerife yang dibiayai oleh mereka dan sebuah persatuan tempatan swasta, jadi diharapkan ia dapat membantu untuk mencapai matlamat saya,” katanya.

Berdasarkan edisi masa semasa temasya Gold Coast 2018, markah bagi pingat gangsa bagi acara 50m gaya bebas ialah 21.92s, manakala untuk 50m dan 100m kuak kupu-kupu masing-masing 23.73s dan 51.50s.

Pada 2018, Bryan memecahkan rekod acara 50m kuak kupu-kupu milik juara Olimpik Singapura Joseph Schooling iaitu 26.83s dalam kategori lelaki berusia 14 hingga 15 tahun pada 2010, dalam kejohanan jemputan Singapore Island Country Club (SICC) ke-14 untuk menggondol emas dengan catatan masa 26.04s.

-- BERNAMA