Sukan Komanwel 2022 peluang Rachel Yeoh cipta nama di peringkat tertinggi

Atlet gimnastik artistik wanita negara, Rachel Yeoh Li Wen
21/07/2022 04:28 PM

Oleh Amiril Muttaqien Meketar

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Sukan Komanwel di Birmingham, England akan menjadi batu loncatan bagi gimnas artistik negara Rachel Yeoh Li Wen untuk melangkah lebih jauh di pentas dunia.

Selepas menyumbang dua pingat emas dalam acara palang bertingkat dan batang titian pada temasya Sukan SEA 2021 di Hanoi Mei lepas, Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) berpendapat Sukan Komanwel adalah platform yang tepat untuk memacu Rachel ke tahap lebih tinggi.

Setiausaha Kehormat MGF Afrita Ariany Nasril berkata temasya empat tahun sekali itu juga akan memberi pendedahan yang baik kepada gimnas berusia 23 tahun itu untuk mempersiapkan diri bagi kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

“Pencapaian Rachel pada Sukan SEA yang lepas, sememangnya petanda yang baik untuk dia pergi lebih jauh.

“Kami berharap dapat mendedahkannya menyertai lebih banyak pertandingan, termasuk kejohanan dunia dan piala dunia dalam usaha untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik,” katanya kepada Bernama.

Ditanya sama ada Rachel bakal pengganti Farah Ann Abdul Hadi, Afrita percaya Rachel berkemampuan untuk melaksanakannya.

Justeru, beliau berkata MGF giat berusaha untuk membentuk Rachel menjadi atlet berprestasi tinggi dan bertaraf dunia.

Dalam pada itu, Afrita berkata gimnas itu terpaksa melupakan kem latihan yang sepatutnya diadakan di Jepun dan Slovenia berikutan mengalami kecederaan ringan pada jari kakinya.

Beliau berkata sebaliknya, Rachel akan meneruskan latihan di sini sebelum ke West Midlands untuk temasya itu.

Selain Rachel, kem gimnastik artistik negara juga akan mengharapkan kepada Muhammad Shahrul Aimy bagi acara kategori lelaki yang diadakan di Arena Birmingham dari 29 Julai hingga 2 Ogos.

Kontinjen negara ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 terdiri daripada 105 atlet yang akan menyertai 14 sukan termasuk empat sukan para.

Sukan Komanwel Birmingham 2022 berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos.

-- BERNAMA