Perjuangan di Birmingham peluang tebus kekecewaan

Sukan Komanwel Birmingham 2022 dijadualkan bermula 28 Julai hingga 8 Ogos ini, dengan lebih kurang 6,500 atlet dari 72 negara dan Wilayah dijangka mengambil bahagian pada edisi kali ini.
27/07/2022 05:46 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BIRMINGHAM, 27 Julai (Bernama) -- Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang akan membuka tirai secara rasmi di Stadium Alexander, Perry Barr, esok memberi sinar baharu kepada peminat sukan tanah air untuk melihat kejayaan gemilang atlet Malaysia sekali gus mencapai sasaran enam pingat emas.

Harapan tinggi diletakkan ke atas barisan atlet negara yang beraksi di Birmingham bagi mengharumkan nama Malaysia di persada sukan dunia sekali gus menebus kekecewaan selepas pencapaian kurang memberangsangkan pada Sukan SEA di Hanoi, Vietnam, Mei lepas.

Sebagai rekod, buat pertama kalinya dalam sejarah, Malaysia yang mencapai sasaran dengan meraih 39 pingat emas pada Sukan SEA Hanoi berada di kedudukan keenam dan paling rendah sejak 1983 ketika temasya sukan dwitahunan tersebut dianjurkan di Singapura.

Namun, dengan kehadiran ramai jaguh dunia di Birmingham, cabaran getir sudah pasti menanti 104 atlet negara yang menyertai 14 jenis sukan termasuk empat sukan para dalam memastikan sasaran enam emas kali ini tercapai, menyamai rekod dilakar pada edisi 2014 di Glasgow.

Biarpun temasya sukan empat tahun sekali itu belum bermula, kontinjen negara dilanda ‘badai’ selepas dua prospek emas iaitu jaguh perseorangan lelaki badminton, Lee Zii Jia serta pemain skuasy wanita S. Sivasangari tidak dapat menjejakkan kaki ke Birmingham.

Zii Jia menarik diri dengan alasan jadual padat diharungi sejak kebelakangan ini, selain mahu menumpukan sepenuhnya kepada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun pada 22-28 Ogos manakala malang menimpa Sivasangari setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya, bulan lepas.

Situasi itu menyebabkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengambil keputusan menurunkan sasaran awal tujuh emas kepada enam merangkumi acara angkat berat, badminton, boling padang, gimrama, powerlifting dan terjun.

Susulan ketiadaan Zii Jia, harapan utama skuad badminton kini dipikul pemenang gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk merangkul emas manakala beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah diharap mampu menamatkan kempen di Birmingham dengan cemerlang.

Peminat sukan tanah air juga mendambakan kilauan emas mampu diterjemah skuad terjun negara, lebih-lebih lagi dengan penampilan ratu terjun, Datuk Pandelela Rinong serta Nur Dhabitah Sabri.

Sekiranya Pandelela-Nur Dhabitah mampu mengulangi prestasi cemerlang pada Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary selepas berjaya mengatasi pencabar dari negara Komanwel untuk merangkul pingat gangsa acara 10 meter (m) platform seirama, pingat emas mungkin dalam genggaman mereka.

Pandelela-Nur Dhabitah tewas kepada pasangan China Quan Hongchan-Chen Yuxi yang meraih emas manakala perak menjadi milik gandingan Amerika Syarikat, Delaney Schnell-Katrina Young.

Pandelela juga berpeluang cerah untuk menambah koleksi pingat di Birmingham seandainya mampu melakukan terjunan terbaik seperti ditampilkan ketika meraih gangsa dalam acara 10m platform individu di Budapest.

Badang negara, Muhamad Aznil Bidin pula mengintai emas kedua berturut-turut di Sukan Komanwel di sini, selepas memenanginya di Gold Coast 2018 manakala tiga atlet gimrama, Izzah Amzan, Koi Sie Yan dan Ng Joe Ee, berpeluang meneruskan kejayaan diraih Amy Kwan Dict Meng, juga pada edisi lepas.

Gandingan emas di Gold Coast 2018, Siti Zalina Ahmad-Emma Firyana Saroji tampak menjadi sandaran utama skuad boling padang dalam usaha menaiki podium tertinggi di Birmingham.

Sukan Komanwel Birmingham 2022 turut menjadi pentas buat jaguh powerlifting serta juara bertahan Sukan Paralimpik Tokyo, Bonnie Bunyau Gustin yang akan bersaing dalam acara lightweight untuk melakar sejarah menjadi atlet para pertama negara membawa pulang emas pada temasya sukan tersebut.

Ketiadaan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang kini dalam fasa pemulihan selepas menjalani pembedahan jantung terbuka April lepas, nampaknya bakal merencatkan buruan pingat emas skuad berbasikal di sini.

Namun, kelibat Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Fadhil Mohd Zonis serta permata baharu skuad negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri boleh menghadirkan kejutan pada satu-satunya acara berlangsung di luar Birmingham iaitu di Lee Valley Velopark, London.

Tatkala fokus lebih diberikan kepada prospek emas negara, cabaran atlet lain seperti renang, olahraga, tinju, gimnastik artistik, judo, skuasy, ping pong, ragbi tujuh sebelah, bola keranjang para 3x3 dan triathlon tidak boleh dipinggirkan begitu sahaja kerana tidak mustahil sesuatu di luar jangkaan mampu terhasil di sini.

Bertemakan ‘Sukan Untuk Semua’, temasya sukan selama 12 hari yang  berlangsung sehingga 8 Ogos, menyaksikan kira-kira 6,500 atlet dan pegawai dari 72 negara bersaing merebut 1,875 pingat  ditawarkan daripada 19 jenis sukan dan lapan sukan para di Birmingham.

Temasya sukan kali ini adalah kali ketiga England menjadi tuan rumah Sukan Komanwel selepas kali pertama menganjurkannya pada 1934 di London diikuti Manchester pada 2002.

Pada temasya Gold Coast 2018, kontinjen negara memenangi tujuh emas, lima perak dan 12 gangsa manakala pencapaian terbaik Malaysia direkodkan pada New Delhi 2010 yang menyaksikan mereka cemerlang meraih 12 pingat emas.

Sudah tentu slogan ‘Demi Malaysia' akan terus disemarakkan bagi melakar kejayaan yang akan mengharumkan nama negara dan sama-samalah kita mendoakan atlet kebangsaan dapat menampilkan aksi terbaik di Birmingham.

-- BERNAMA