Ong Yong Qi hadiahkan pingat emas kedua kem renang negara

Kredit foto: Sukan IPT
27/07/2022 09:07 PM

Daripada Muhammad Afiff Md Adnan

UBON RATCHATHANI (Thailand), 27 Julai (Bernama) -- Perenang wanita negara, Ong Yong Qi mempamerkan aksi renangan bertenaga sebelum berhasil meraih pingat emas kedua buat kem renang negara di temasya Sukan Universiti  ASEAN (AUG) 2022, di sini, hari ini.

 Yong Qi, 20, menceriakan kem renang selepas menggunguli acara 200 meter (m) kuak kupu-kupu wanita tatkala tujuh lagi aksi final renang berlangsung di Kampus Ban Yang Noi kurang menyerlah.

Atlet kelahiran Johor itu merekodkan catatan masa 2 minit :18.45 saat (s), menewaskan peserta Indonesia, Adinda Kirana (2:18.63s) diikuti peserta Thailand, Panthira Subha-amorn (2:22.26s).

“Gembira berjaya sumbangkan emas buat kontinjen negara hari ini, walaupun masa dalam aksi final tidak begitu baik, ia sudah cukup untuk saya meraih tempat pertama.

“AUG ini sebahagian persiapan saya untuk mewakili negara pada Sukan SEA Kemboja pada tahun hadapan,” katanya.

Semalam, Low Zheng Yong menyumbang emas pertama menerusi acara renang 400 meter (m) gaya bebas lelaki.

Dalam aksi lain, perenang Olimpik kelahiran Sarawak, Welson Sim, sekadar meraih pingat perak dalam acara 200m gaya bebas lelaki manakala Terence Ng Shin Jian dengan gangsa di mana emas menjadi milik perenang Indonesia, Joe Aditya Wijaya Kurniawan.

Acara 200m kuak kupu-kupu lelaki, Low Zheng Yong meraih gangsa terpaksa akur dengan emas milik perenang Thailand, Wongcharoen Navaphat dan perak diraih Joe Aditya dari Indonesia.

Sementara itu, acara 4x100m gaya bebas wanita, pingat emas menjadi milik Thailand, sementara perak diraih Malaysia serta gangsa diraih Singapura.

Malaysia dalam masa sama meraih perak bagi acara 4x100 gaya bebas lelaki manakala emas milik Indonesia dan gangsa milik Thailand.

Kem renang negara sehingga hari ini menghadiahkan dua emas, lima perak dan dua gangsa buat kontinjen negara di AUG ke-20 itu.

-- BERNAMA