Megat Shahriman bertanding jawatan Presiden APSF

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D. Shahriman
30/07/2022 06:54 PM

Daripada Vikneswaran Raman

SOLO (Indonesia), 30 Julai (Bernama) -- Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin akan bertanding untuk jawatan Presiden Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF). 

Pencalonan telah ditutup 20 Julai lepas, bagaimanapun senarai calon hanya akan diumumkan pada perhimpunan agung yang juga hari pemilihan Selasa ini (2 Ogos).

Ia dijangka melibatkan pertandingan tiga penjuru susulan Mej Jen Osoth Bhavilai dari Thailand, yang juga Presiden APSF sejak 2015, menyatakan minat untuk mempertahankan jawatan tertinggi itu, selain Pengerusi Majlis Paralimpik Nasional Singapura Dr Teo Koh Sock Miang turut dikaitkan dengan jawatan tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Agung MPM Datuk R. Subramaniam akan bertanding jawatan naib presiden.

Megat D. Shahriman berkata misi utamanya ialah untuk memperhebat pembangunan sukan para di rantau ini dan memperkasa penglibatan wanita dalam organisasi tersebut.

“Saya bertanding kerana ada anggota yang merasakan bahawa kami memerlukan perubahan dalam APSF untuk idea yang lebih segar dan cara bekerja.

“Matlamat saya ialah untuk menjenamakan semula APSF, menjadikan pengurusan kewangan APSF berhemah dan mewujudkan pergerakan Paralimpik yang mampan disegani oleh komuniti antarabangsa,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga dalam usaha menggesa supaya status Timor Leste daripada anggota sementara dinaik taraf sebagai anggota biasa.

Sementara itu, seramai 73 atlet membawa cabaran Malaysia dalam 11 jenis sukan pada Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 yang membuka tirai hari ini di Solo, Indonesia sehingga 6 Ogos ini.

-- BERNAMA