Presiden Persekutuan Sepaktakraw M'sia dilantik naib presiden ISTAF

Datuk Suhaili Abdul Rahman
30/07/2022 11:29 PM

BANGKOK, 30 Julai (Bernama) -- Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (MASTAF) Datuk Suhaili Abdul Rahman dilantik sebagai salah seorang naib presiden baharu Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF).

Setiausaha Agung Istaf Datuk Abdul Halim Kader dalam kenyataan berkata Suhaili adalah antara lapan Naib Presiden ISTAF baharu yang dilantik dalam pemilihan yang diadakan pada Jumaat.

“Ini menunjukkan kepercayaan terhadap kepimpinan Suhaili dan pasukannya daripada MASTAF akan meningkatkan pembangunan sepak takraw di Malaysia serta di peringkat antarabangsa,” katanya. 

Abdul Halim yakin kepimpinan MASTAF akan terus bersinar susulan diberi kepercayaan untuk menganjurkan Kejohanan Sepaktakraw Dunia Bawah 21 Tahun pada minggu kedua Jun tahun depan.

Venue kejohanan tersebut dicadangkan sama ada di Kuala Lumpur atau Sabah, tambahnya.

Sementara itu, Jeneral Dr. Charouck Arirachakaran dari Thailand dilantik semula sebagai Presiden ISTAF bagi penggal 2022-2026. 

Beliau meraih 32 undi daripada wakil anggota berbanding pencabar tunggalnya Karen Claire T. Caballero daripada Pemerbadanan Sepaktakraw Filipina, yang juga merupakan Pembantu Setiausaha Agung Majlis Olimpik Kebangsaan Filipina, yang menerima hanya empat undi. 

Boonchai Lorhpipat dari Thailand dan Gum Yeon Goo dari Korea Selatan menang kedua-dua jawatan timbalan presiden tanpa bertanding.

-- BERNAMA