Tze Liang mahu cipta magis di Sukan Komanwel terakhirnya

Ooi Tze Liang (gambar fail)
31/07/2022 10:42 AM

SEPANG, 31 Julai (Bernama) -- Atlet terjun lelaki kebangsaan Ooi Tze Liang berharap penampilan terakhirnya di Sukan Komanwel yang sedang berlangsung di Birmingham, England ketika ini mampu menghadiahkan ‘magis’ kepada skuad terjun negara. 

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland menerusi acara 3 meter (m) papan anjal lelaki itu berkata beliau telah melakukan latihan dua kali ganda lebih hebat bagi memastikan dirinya berada pada tahap prestasi terbaik menjelang temasya sukan berprestij itu. 

“Umur saya sudah 28 tahun, jadi tiba masanya untuk ‘move on’… Semestinya saya sudah memastikan untuk membuat tugas tambahan bagi edisi kali ini yang merupakan aksi terakhir di Sukan Komanwel.

“Saya harap boleh nikmati perlawanan dan bagi sehabis baik menggunakan segala jenis teknik terjunan yang dipelajari selama ini,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, baru-baru ini. 

Mengulas lanjut, beliau berharap mampu mempersembahkan terjunan terbaiknya berbanding edisi di Gold Coast, Australia yang menyaksikan beliau di tempat ke-10 bagi acara 3m papan anjal dan tempat keempat 3m papan anjal seirama lelaki bersama gandingan Chew Yi Wei.

Bagi penampilan kali ini, Tze Liang masih bergandingan dengan Yi Wei bagi 3m papan anjal seirama lelaki dan skuad terjun negara dijangka memulakan saingan di Pusat Akuatik Sandwell bermula Khamis (4 Ogos) ini.

Tze Liang berkata beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Yi Wei bagi merangka strategi memperkukuhkan teknik terjunan mereka di Birmingham.

“Empat tahun lepas kita baru tukar jurulatih dan ketika itu pasukan terjun tidak stabil, namun kali ini skuad negara lebih stabil. Saya yakin seluruh pasukan berlatih bersungguh-sungguh untuk ke sana (Birmingham),” katanya. 

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menetapkan sukan terjun sebagai satu daripada prospek penyumbang emas di Birmingham selain badminton, boling padang, powerlifting, gimnastik berirama dan angkat berat.

Sukan Komanwel Birmingham yang bermula secara rasmi Khamis lepas akan berlangsung hingga 8 Ogos ini dengan kira-kira 6,500 atlet dari 72 negara dan wilayah mengambil bahagian.

-- BERNAMA