Doa ibu bapa azimat buat Muhamad Aznil raih emas di Sukan Komanwel

Muhamad Aznil Bidin
31/07/2022 06:34 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Dorongan dan doa ibu bapa serta ahli keluarga menjadi azimat buat atlet angkat berat negara Muhamad Aznil Bidin yang berjaya mempertahankan pingat emas di Sukan Komanwel Birmingham 2022, semalam.

Ibunya, Haslina Hamzah, 46, berkata biarpun Muhamad Aznil yang mesra dipanggil Bang Ngah giat melakukan persediaan, beliau sempat pulang ke rumah mereka di Kedah dan memohon restu serta doa daripadanya dan suami, Bidin Yaacob, 50, sebelum berangkat ke Birmingham.

Haslina yang tidak dapat menahan sebak ketika dihubungi Bernama berkata atlet berusia 28 tahun itu pada masa sama tidak pernah lupa untuk menghubungi keluarga dalam apa jua situasi bagi bertanyakan khabar selain berkongsi perkembangan terbaharu.

Malah, ketika di Birmingham, Muhamad Aznil sering menghubungi ahli keluarga di Malaysia termasuk selepas mempertahankan pingat emas kategori 61 kilogram (kg) yang menjadi emas kedua kontinjen negara di temasya sukan berprestij itu, bagi berkongsi kegembiraannya.

“Dia sentiasa buat panggilan video, pergi berlatih, pergi bertanding, sebelum beraksi dan selepas menang pun dia tidak lupa untuk menghubungi saya dan suami. Semasa dia balik ke rumah selepas Sukan SEA di Hanoi, Vietnam, dia memang minta restu dan doakan dia berjaya di Sukan Komanwel,” katanya.

Ibu kepada empat anak lelaki itu berkata beliau menyaksikan sendiri kejayaan anak keduanya itu secara langsung di televisyen bersama suami dan anak-anaknya di rumah.

Haslina memaklumkan Muhamad Aznil yang sudah berkecimpung dalam sukan angkat berat sejak berusia 13 tahun turut menyimpan impian untuk beraksi di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Muhamad Aznil semalam memastikan Jalur Gemilang terus berkibar megah di Pusat Pameran Nasional (NEC), Birmingham apabila meraih emas selepas melakukan angkatan bebanan keseluruhan 285kg sekali gus mencatat rekod baharu temasya.

Selain beliau, rakan sepasukan Mohamad Aniq Kasdan yang menampilkan aksi bertenaga dalam kategori 55kg lelaki terdahulu menyumbangkan emas pertama Malaysia dengan catatan bebanan keseluruhan 249kg.

-- BERNAMA