Abdul Latif 'terbang' tinggi di APG, bakal tamatkan zaman bujang

Atlet Lompat Jauh Para Kebangsaan Datuk Abdul Latif Romly mengibarkan Jalur Gemilang selepas memenangi acara Lompat Jauh (T20) pada Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di Stadium Manahan hari ini.
02/08/2022 09:27 PM

Daripada Vikneswaran Raman

SOLO (Indonesia), 2 Ogos (Bernama) -- Juara Paralimpik sebanyak dua kali, Datuk Abdul Latif Romly meneruskan penguasaan di temasya Sukan Para ASEAN (APG) di sini, apabila merangkul pingat emas keempat berturut-turut dalam acara lompat jauh F20 (masalah intelektual).

Atlet berusia 25 tahun berasal dari Perlis itu, mempamerkan kehebatannya dengan lompatan sejauh 7.20 meter di Stadium Manahan di sini, untuk memastikan beliau membawa pulang emas dalam setiap penampilannya sejak edisi 2013 di Myanmar.

Atlet Lompat Jauh Para Kebangsaan Datuk Abdul Latif Romly ketika beraksi dalam acara Lompat Jauh (T20) pada Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di Stadium Manahan hari ini.

Walaupun jarak yang dicatatkan pagi ini masih rendah berbanding rekod dunia 7.64m yang dilakukan pada Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, Abdul Latif masih gembira kerana ia merupakan kejohanan pertama sejak hampir setahun berehat selepas mengalami kecederaan pangkal paha ketika mempertahankan emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada September lepas.

Rakan sepasukannya, Zulkifly Abdullah yang meraih gangsa pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, berjaya merampas perak daripada Suhairi Suhaini dari Singapura dengan catatan 6.43m, manakala wakil Singapura itu terpaksa berpuas hati dengan gangsa dengan lompatan 5.78m.

Bercakap selepas kejayaan itu, Abdul Latif yang juga merupakan juara dunia 2015 dan 2017, berkongsi bahawa akan berkahwin dengan teman sejak zaman sekolahnya pada Disember ini, selepas majlis bertunang berlangsung pada Oktober tahun lepas.

"Pingat ini saya dedikasikan kepada keluarga saya dan mungkin rezeki kahwin. Saya rasa ini mungkin pertandingan terakhir bagi tahun ini, selepas ini akan bersedia untuk menghadapi APG 2023 Kemboja, Kejohanan Dunia dan Sukan Para Asia Hangzhou 2022 di China tahun depan bergantung kepada perancangan jurulatih," katanya.

Sementara itu, keputusan minit-minit terakhir Muhamad Ashraf Mohamad Haisham untuk beraksi dalam acara 5,000m lelaki T46 (kecacatan fizikal) menyaksikan beliau berjaya meraih pingat perak.

Atlet berusia 26 tahun itu yang kehilangan tangan kiri pada 2013 apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas, mencatatkan 17 minit dan 06.360 saat, di belakang King James (16:53.950s) dari Filipina, manakala wakil tuan rumah Rifki Ahmad (18:57.200s) membawa pulang gangsa.

"Pengalaman yang sangat baik untuk saya selepas membuat keputusan untuk beraksi dalam acara ini kerana jarak di antara acara 400m dan 1,500m pada esok hanya sejam, jadi saya tarik diri dari acara 400m. Saya cuba untuk buru emas, tetapi terpaksa akur," katanya.

Seorang lagi jaguh Paralimpik, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menambah koleksi pingatnya di APG, dengan meraih perak acara 200m lelaki T36/37 (palsi serebrum) dengan catatan 25.440s, selepas meraih emas acara pecut 100m klasifikasi sama, semalam.

Wakil tuan rumah, Saptoyogo (23.090s) berjaya bergelar juara acara itu, manakala Le Van (26.390s) dari Vietnam menamatkan saingan di tempat ketiga.

Bagi acara lompat jauh wanita F20 (masalah intektual), Nur Alia Ardiela Natasya melakukan lompatan sejauh 4.61m untuk membawa pulang perak.

Atlet Indonesia Rica Octavia (5.25m) berjaya merangkul emas acara itu, manakala gangsa menjadi milik Ma Ravinia (3.91m) dari Filipina.

-- BERNAMA