APG: Perenang negara raih satu lagi emas, dua perak

02/08/2022 06:14 PM

Daripada R.Vikneswaran

SOLO (Indonesia), 2 Ogos (Bernama) -- Perenang negara terus meraih pingat di Pusat Renang Jatidiri, Semarang dengan menambah satu lagi emas dan dan dua perak hari ini.

Biarpun hanya dua peserta bertanding dalam acara 50 meter (m) kuak dada lelaki SB14 tidak menghalang  Mohd Adib Iqbal Abdullah untuk mencipta rekod baharu kejohanan  dengan catatan masa 33.550 saat (s) dan memperoleh emas sementara wakil Thailand Master Parami Chaysri (37.570s) pulang dengan tangan kosong.

Rekod 33.61s sebelum ini dicatat atlet Indonesia Irfan Septiana semasa edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Sementara itu, atlet paralimpik  Muhammad Nur Syaiful Zulkafli memperoleh perak dalam 200m gaya bebas lelaki S5 dengan masa tiga minit 0.620s sementara atlet Thailand Phuchit Aingchaiyaphum menduduki tempat pertama dengan  2:57.89s.

Seorang lagi wakil Malaysia  Zy Lee Kher (03:02.180s) tidak mendapat pingat kerana hanya tiga peserta bertanding dalam acara itu.

Sebutir lagi pingat perak disumbangkan  Muhd Imaan Aiman Muhd Redzuan menerusi acara 100m kuak lentang lelaki S14. 

Emas menjadi milik atlet Filipina Ariel Joseph Alegarbes (1:03.010s) sementara Chuvong Jirachot dari Thailand (1:11.680s) memperoleh gangsa.

 Malaysia menggondol enam emas dan sebutir perak dalam pembukaan acara renang semalam dan beberapa lagi pingat dijangka diperoleh esok.  

-- BERNAMA