Capai sasaran ke final, Muhammad Azeem tempat kelima di Colombia

Muhammad Azeem Mohd Fahmi
03/08/2022 10:38 AM

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Impian atlet pecut muda negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi menaiki podium pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) di Cali, Colombia tidak kesampaian selepas menamatkan final acara 100 meter (m) lelaki di tempat kelima pagi ini waktu Malaysia.

Muhammad Azeem yang memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan masa 10.09 saat (s) dalam pusingan awal semalam, gagal mengulangi larian terbaiknya apabila sekadar merekod 10.14s dalam saingan yang berlangsung di Stadium Olimpik Pascual Guerrero itu.

Atlet Botswana berusia 19 tahun, Letsile Tebogo mengungguli saingan dengan bergaya selepas merakam kepantasan 9.91s sekali gus memecahkan rekod dunia B-20 milik atlet Amerika Syarikat Trayvon Bromell yang dicipta pada 2014 serta rekod kejohanan miliknya yang dilakar sewaktu di pusingan awal.

Catatan dicipta Tebogo menyaksikan beliau melintasi garisan penamat dengan selesa meninggalkan pencabar terdekat Bouwahjgie Nkrumie dari Jamaica yang merekod 10.02s di tempat kedua sementara wakil Afrika Selatan Benjamin Richardson ketiga dengan masa 10.12s.

Pemenang pingat emas 100m dan 200m Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam, Puripol Boonson dari Thailand yang berusia 16 tahun terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat meskipun mempunyai catatan masa sama dengan Richardson.

Terdahulu, Muhammad Azeem berjaya mencapai sasaran utamanya di Cali iaitu mara ke pentas final, apabila menamatkan saringan tiga separuh akhir di tempat kedua dengan catatan 10.19s.

Atlet kelahiran Perak berusia 18 tahun itu masih berpeluang menebus kekecewaannya dalam mencipta kejutan dan sejarah tersendiri apabila turun beraksi dalam acara 200m yang dijadual bermula awal pagi esok.

Beliau mempunyai catatan masa peribadi terbaik 20.89s yang dianggap masa kedua terpantas dalam sejarah acara 200m negara iaitu selepas rekod kebangsaan 20.77s milik Russel Alexander Nasir Taib yang dilakukan pada 2019.

Sementara itu, seorang lagi atlet muda negara Elvin Yap terkandas di separuh akhir 110m lari berpagar lelaki (99.0 sentimeter) selepas menamatkan saringan tiga di kedudukan terakhir dengan catatan 14.92s.

Manakala Jonah Chang yang dijadual beraksi dalam final lontar peluru lelaki tidak membuat balingan, menurut keputusan dikeluarkan laman web kejohanan https://www.worldathletics.org/competitions/world-athletics-u20-championships/cali22/results/men/shot-put-6kg/final/result.

Dalam pada itu, Muhammad Shah Sholihin dijadual memulakan saingan acara lompat kijang lelaki pada 4 Ogos (5 Ogos waktu Malaysia).

-- BERNAMA