APG: Liek Hou bersedia berhadapan musuh tradisi, Dheva di separuh akhir

Atlet badminton paralimpik negara Cheah Liek Hou
03/08/2022 07:10 PM

SOLO (Indonesia), 3 Ogos (Bernama) -- Juara Paralimpik Cheah Liek Hou bersedia untuk berhadapan pemain tuan rumah dan musuh tradisinya Dheva Anrimusthi bagi acara perseorangan lelaki SU5 (kecatatan fizikal) pada perlawanan separuh akhir esok.

Juara dunia enam kali dalam katogeri perseorangan dan lima kali dalam beregu, dengan mudah melepasi peringkat suku akhir di Universiti Muhammadiyah Surakarta (UMS) Edutorium hari ini, mengalahkan pemain Vietnam Anh Tuan 21-5, 21-9.

Dheva, juara dunia 2019, mengalahkan seorang lagi pemain vietnam Pham Van Toi, 21-16, 21-8 akan berhadapan Liek Hou, buat pertama kalinya selepas beliau tewas dan gagal memperoleh pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, kira-kira setahun lepas.

Liek Hou, 34, yang sejak itu terus mengekalkan prestasi baiknya dengan memenangi 11 gelaran berturut-turut dan 50 perlawanan tanpa kalah, dan mengambil-alih kedudukan pemain nombor satu dunia dari Dheva, bulan lepas.

“Tentunya beliau mempunyai kelebihan kerana bermain di hadapan penonton sendiri, tetapi saya tidak akan fikirkan perkara itu sangat dan berikan tekanan pada diri saya dan memfokuskan kepada perlawanan. Untuk beberapa hari ini, lawan saya tidak begitu kuat, jadi saya tidak pasti prestasi sebenar saya akan bagus atau tidak esok, tetapi saya akan melawan,” katanya kepada Bernama.

Pada perlawanan separuh akhir beregu SU5, gandingan baharu Liek Hou-Muhammad Fareez Anuar yang menerima bye pada suku akhir selepas mengungguli Kumpulan B, dijadualkan bertemu pasangan Oddie Kurnia Dwi Listianto Putra-Isuryo Nugroho dari Indinesia.

Liek Hou memenangi pingat emas pada edisi KL 2017 dan gelaran beregu lelaki pada edisi Singapura 2015, tambahan kepada dua perak dan satu gangsa.

Pada satu lagi perlawanan separuh akhir, Mohamad Faris Ahmad Azri akan berhadapan Suryo, yang mungkin membolehkan perlawanan akhir adalah antara dua pemain Malaysia.

Mohamad Faris mengalahkan rakan senegara Muhammad Fareez 21-17, 17-21, 23-21, manakala Suryo juga mengalahkan rakan senegara Arya Sadewa 21-15, 21-10, hari ini.

Muhammad Fareez- Mohd Amin Burhanuddin juga melangkah ke separuh akhir beregu SU5, selepas mengalahkan Antonio Dela Cruz-Joseph Clyde Belga dari Filipina 21-9, 21-10.

Sementara itu pada suku akhir perseorangan lelaki SL4 (kecatatan fizikal), Mohd Amin Burhanuddin yang mengalahkan Teamarrom Siripong dari Thailand 21-15, 21-17, akan bertemu atlet tuan rumah Hikmat Ramdani, esok.

Acara lelaki perseorang WH2 (berkerusi roda) Noor Azwan Bin Noorlan layak ke separuh akhir selepas mengalahkan pemain Vietnam Truong Ngoc Binh 21-12, 21-14, dan akan bertemu Agus Budi Utomo dari Indonesia.

“Pemain dari Indonesia menjadi pesaing utama untuk kita, kerana negara-negara lain masih belum sampai tahap yang diinginkan. Bagi Liek Hou, beraksi menentang wakil tuan rumah bukan mudah dan saya memintanya lebih bersedia supaya dapatkan kemenangan,” kata jurulatih kebangsaan Samidiono Slamet.

-- BERNAMA