Muhammad Azeem perbaiki catatan masa peribadi terbaik 200m di Colombia

Muhammad Azeem Mohd Fahmi
04/08/2022 02:32 AM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Atlet pecut muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi semakin menghampiri rekod 200 meter (m) kebangsaan dengan memperbaharui catatan masa peribadi terbaik pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) di Cali, Colombia, pagi ini waktu Malaysia.

Muhammad Azeem mencipta masa 20.83 saat (s) ketika memenangi perlumbaan Saringan Tiga pusingan awal 200m lelaki di Stadium Olimpik Pascual Guerrero sekali gus mengesahkan tempat dalam kalangan 24 pelari terbaik layak ke separuh akhir.

Beliau yang berada di lorong lapan mempamerkan larian cemerlang untuk menewaskan Aidan Murphy dari Australia di tempat kedua dan atlet Jamaica Bryan Levell ketiga, dengan kedua-dua pelari melintasi garisan penamat dengan catatan masa sama 20.85s.

Atlet kelahiran Perak berusia 18 tahun itu sebelum ini mempunyai catatan peribadi terbaik 20.89s yang dianggap masa kedua dua terpantas dalam sejarah acara 200m negara iaitu selepas rekod kebangsaan 20.77s milik Russel Alexander Nasir Taib yang dicipta pada 2019.

Sebagai rekod, Muhammad Azeem mencipta rekod baharu 100m kebangsaan dengan masa 10.09s di kejohanan sama, Selasa lepas.

Sementara itu, juara 100m kejohanan Letsile Tebogo dari Botswana yang berusia 19 tahun sekali lagi mencuri perhatian selepas melangkah ke separuh akhir dengan bergaya apabila memecahkan rekod kejohanan dengan kepantasan 19.99s ketika mengungguli Saringan Dua.

Pada masa sama, pemenang pingat emas 100m dan 200m Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam, Puripol Boonson dari Thailand, yang berusia 16 tahun, turut mara ke pusingan seterusnya selepas menamatkan Saringan Empat di kedudukan pertama dengan merakam 20.68s.

Catatan 20.83s yang dilakukan Muhammad Azeem adalah kesembilan terpantas dalam keseluruhan 48 atlet yang beraksi dalam saingan pusingan awal.

Saingan separuh akhir pada jam 4.30 pagi ini (waktu Malaysia)  dan akhir dijadual berlangsung awal pagi esok waktu Malaysia.

-- BERNAMA