APG: Liek Hou pertahan gelaran perseorangan di Solo

Cheah Liek Hou
05/08/2022 06:27 PM

Daripada Vikneswaran Raman

SOLO (Indonesia), 5 Ogos (Bernama) -- Juara Paralimpik Tokyo 2020, Cheah Liek Hou menepati ramalan untuk mempertahankan gelaran perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) Sukan Para ASEAN (APG) di sini.

Pada aksi final di Edutorium Universiti Muhammadiyah Surakarta (UMS), pemain berusia 34  tahun itu, menewaskan rakan senegara dan bekas gandingannya untuk acara beregu, Faris Ahmad Azri 21-18, 21-14 selepas perlawanan selama 31 minit.

Pemain nombor satu dunia Liek Hou mara ke final selepas menewaskan musuh tradisinya, Dheva Anrimusthi 21-19, 21-12 di hadapan penyokong tuan rumah pada separuh akhir semalam, manakala Mohamad Faris membelasah satu lagi pemain pilihan Indonesia, Suryo Nugroho 21-11, 21-10.

Liek Hou memenangi pingat emas perseorangan pada edisi KL 2017 dan gelaran beregu lelaki pada edisi Singapura 2015, tambahan kepada dua perak dan satu gangsa APG.

Bagi acara beregu lelaki SU5, kedua-dua gandingan negara - Liek Hou-Muhammad Fareez Anuar serta Mohamad Faris-Mohd Amin Burhanuddin - terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas tewas di peringkat separuh akhir, semalam.

“Perlawanan tadi tiada tekanan sangat, saya main dengan tenang. Ketika beliau mendahului set pertama, saya kejar balik untuk dapat mata, manakala set kedua saya dapat mengawalnya... Rasa lega akhirnya dapat menang walaupun tanpa jurulatih.

“Saya rasa bangga juga dengan pencapaian rakan sepasukan yang boleh dapat pencapaian yang lebih cemerlang pada kali ini, rasa perjalanan yang bagus untuk skuad negara, membuktikan strateginya tepat dan harus meneruskan kerja keras untuk lebih banyak kejayaan selepas ini,” katanya.

Liek Hou, yang juga merupakan juara dunia enam kali dalam kategori perseorangan dan lima kali dalam beregu, berkata keputusan mengenai jurulatih baharunya, akan dibincangkan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) selepas pulang ke tanah air Ahad ini.

Jurulatihnya, Datuk Rashid Sidek, yang membantu Liek Hou selama lebih dua tahun dalam mencipta kegemilangan di Paralimpik tahun lepas, ketika ini melatih kontinjen Malaysia di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 di Thailand dan dikatakan akan fokus kepada pembangunan akar umbi.

Sementara itu, pemain badminton berkerusi roda negara, Muhammad Ikhwan Ramli merangkul emas acara perseorangan lelaki WH1 selepas beraksi cemerlang mengalahkan Kornpeekanok Chatchai dari Thailand 21-9, 21-11 hari ini.

Muhammad Ikhwan kemudian, meraih kejayaan berganda apabila gandingannya bersama Noor Azwan Noorlan, berjaya bangkit menundukkan wakil tuan rumah Agung Widodo-Supriadi Supriadi 19-21, 21-10, 21-18 pada final beregu lelaki WH1-WH2.

“Alhamdulillah, kempen kali ini berjalan dengan lancar dan saya sangat bangga dengan pencapaian ini. Bagi acara perseorangan, oleh kerana saya pernah bertemu dengan lawan sama banyak kali, tiada tekanan, hanya mahu beraksi dengan tenang dan kurangkan kesilapan,” katanya.

-- BERNAMA