Sindhu jadi ancaman utama Jin Wei ke separuh akhir

06/08/2022 01:55 AM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BIRMINGHAM, 5 Ogos (Bernama) -- Mampukah  pemain perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei menampilkan sesuatu di luar dugaan untuk mengejutkan juara dunia badminton 2019, Pusarla V. Sindhu dalam aksi suku akhir di Sukan Komanwel Birmingham 2022 esok?.

Berdasarkan persembahan bersemangat juang tinggi dan bertenaga Jin Wei sebelum tumpas 20-22, 17-21 kepada  pemain India itu pada perlawanan ketiga final berpasukan campuran, Selasa lalu (2 Ogos),  beliau mungkin di landasan betul untuk membalas dendam terhadap Sindhu.

Walaupun Jin Wei tewas, Malaysia masih berjaya menewaskan India 3-1 untuk merangkul pingat emas acara berpasukan campuran.

Jin Wei mungkin mempunyai sedikit kelebihan pada perlawanan esok kerana mendapat kemenangan percuma terhadap pemain Barbados, Tamisha Janella Williams pada saingan pusingan 16 manakala Sindhu mengalahkan pemain Uganda, Kobuugabe Husina, 21-10, 21-9 di Pusat Pameran Nasional, di sini, hari ini.

Sementara itu, beregu lelaki pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron China-Soh Wooi Yik diberi ujian getir oleh pasangan kembar Scotland, Christopher Grimly-Matthew Grimly sebelum mengesahkan slot suku akhir dengan kemenangan 21-19, 21-16.

Dalam saingan suku akhir, Aaron-Wooi Yik akan menentang beregu Uganda, Brian Kasirye-Daniel Wanagaliya yang sebelum ini mengalahkan wakil Zambia, Chongo Mulenga-Kalomba Mulenga, 21-15, 21-15.

Pemain perseorangan lelaki utama negara, Ng Tze Yong, meneruskan aksi cemerlang di sini apabila dengan mudah melangkah ke suku akhir setelah menyingkirkan pemain Maldives, Aifan Rasheed, 21-7, 21-9.

Bagaimanapun, tugas menarik menanti Tze Yong, ranking ke-42 dunia, apabila menentang juara dunia, Loh Kean Yew buat julung kali selepas pemain Singapura itu menewaskan pemain Mauritius, Alexandre Jean Bernard Bongout, 21-13, 21-10.

Dalam pada itu, kem badminton negara lebih ceria apabila beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah tidak menghadapi masalah untuk menjinakkan beregu Afrika Selatan, Jordaan Deidre-Johanita Scholtz, 21-6, 21-4.

Kemenangan itu membolehkan Pearly-Thinaah membuat perhitungan suku akhir dengan Yujian Jin-Crystal Wong Jia Ying selepas beregu Singapura itu menewaskan wakil Australia, Kaitlyn Ea-Angela Yu, 21-12, 21-13.

Sementara itu, pasangan beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut mara ke peringkat lapan terakhir dengan kemenangan rutin 21-10, 21-11 ke atas gandingan Australia, Lin Ying Xiang-Gronya Somerville.

Kian Meng-Pei Jing akan menentang Jessica Pugh-Callum Hemming selepas pasangan tuan rumah itu menewaskan wakil Jamaica, Angus Joel-Katherine Wynter, 21-11, 21-7.

-- BERNAMA