Muhammad Azeem timbang semula lanjut pengajian di Houston

Muhammad Azeem Mohd Fahmi
10/08/2022 09:22 PM

SEPANG, 10 Ogos (Bernama) -- Atlet pecut muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi mahu menimbangkan semula keputusan untuk melanjutkan pengajiannya di Universiti Houston, Amerika Syarikat.

Atlet berusia 18 tahun itu berkata keputusan dibuat selepas beliau turut menerima tawaran melanjutkan pengajian daripada beberapa universiti lain di negara itu dan akan membincangkan mengenai hala tuju terbaharunya bersama ibu dan bapanya selain jurulatih Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah.

“Kalau saya pilih Houston, di sana ada satu komuniti Islam besar yang dapat menjamin keadaan saya selain universiti itu telah melahirkan pelari pecut bertaraf duna dan terdapat jurulatih terbaik.

“Saya juga dapat tawaran daripada Universiti Auburn yang akademiknya lebih baik daripada universiti sukan lain. Apa-apa pun saya fikirkan yang terbaik untuk saya,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini. 

Sebelum ini, atlet kelahiran Perak itu membuat keputusan untuk ke Universiti Houston yang baru sahaja melantik pemenang pingat emas sembilan kali Sukan Olimpik, Carl Lewis sebagai ketua jurulatih olahraga dan balapan.

Muhammad Azeem sebelum ini mencipta rekod baharu 100 meter (m) kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) di Cali, Colombia yang menyaksikan beliau memadam rekod lama 10.18s milik bekas jaguh pecut Asia Tenggara Khairul Hafiz Jantan.

Bagaimanapun impian untuk menaiki podium pada kejohanan itu tidak kesampaian selepas beliau menamatkan saingan acara 100m lelaki di tempat kelima pada 3 Ogos lepas. 

Sementara itu, mengulas mengenai kehadiran pelumba Thailand, Puripol Bonsoon yang disifatkan bakal menjadi seterunya di kejohanan akan datang, Muhammad Azeem sebaliknya tidak beranggapan begitu.

Baginya kehadiran Puripol merupakan bukti atlet Asia Tenggara mampu membuat larian dengan catatan masa bertaraf dunia.

"Bagi saya, dalam masa terdekat ini, kita mampu lihat dalam Asia Tenggara saja, malah Asia, kita dapat buktikan kita ada banyak pelari pecut yang dapat melakukan catatan masa seperti pelari pecut dunia yang lain,” katanya. 

-- BERNAMA