Malaysia tuan rumah kelayakan Dunia Piala Asia Baseball5 pertama   

Datuk Low Beng Choo (Gambar fail)
12/08/2022 08:33 AM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Malaysia bersedia menjadi tuan rumah kelayakan Dunia Piala Asia Baseball5 pertama, iaitu permainan yang menampilkan versi urban dan baharu berbanding perlawanan bercorak klasik sukan besbol dan sofbal, bermula 17 hingga 19 Ogos ini.

Sembilan pasukan, termasuk Malaysia, Jepun dan Korea Selatan akan bersaing untuk tiga tempat teratas di Berjaya Times Square Hotel di sini, dalam usaha untuk menempah tempat ke Piala Dunia Baseball5 sulung di Mexico dari 7-13 Nov.

Presiden Sofbol Asia Datuk Low Beng Choo berkata walaupun sukan itu baru diperkenalkan pada 2017, namun sambutannya cukup baik, terutamanya dengan penyertaan sukan berkenaan dalam Sukan Olimpik Remaja 2026 di Dakar, Senegal.

“Memandangkan ini adalah kejohanan baharu, tiada siapa yang menjadi pasukan kegemaran dalam permainan berpasukan campuran ini. Kami menjangkakan cabaran sengit daripada pasukan yang mengambil bahagian, terutamanya juara Olimpik Tokyo (bola sofbol dan besbol) Jepun, Korea Selatan dan tuan rumah.

“Kejohanan itu sepatutnya diadakan pada 2020 tetapi terpaksa ditangguhkan kerana pandemik COVID-19. Kini, memandangkan keadaan hampir kembali normal dan, selepas pertandingan sofbol dan besbol yang sangat berjaya dalam Sukan Olimpik Tokyo, kami telah memutuskan untuk meneruskannya,” katanya pada sidang akhbar.

Beng Choo berkata sukan mudah dan pantas itu hanya memerlukan tapak, lima pemain setiap pasukan dan bola getah, kerana pemukul akan memukul bola dengan tangan kosong dan tiada pitcher (pemain yang membaling bola) terlibat.

Sesuai dengan slogannya 'Main di Mana-mana saja” sukan ini boleh dimainkan di permukaan gelanggang yang berbeza berukuran 18m x 13m seperti rumput, simen, konkrit dan lantai parket, manakala Piala Asia ditetapkan untuk mencontohi Las Vegas - gaya lantai permaidani ballroom, kata Beng Choo.

Bersama-sama kelayakan Piala Dunia, badan induk Asia dengan kerjasama Persatuan Sofbol Malaysia (SAM), juga akan menganjurkan Seminar Konfederasi Besbol-Softball Dunia (WBSC)-Asia Baseball Joint (Technical-Scorers-Umpires) dari 15 Ogos- 16 dan Mesyuarat Majlis Eksekutif Asia Sofbol pada 16 Ogos.

Sementara itu, Presiden SAM Willeam Mah optimis pasukan Malaysia yang terdiri daripada gabungan pasukan sofbol Sukan SEA 2019 dan pemain universiti, boleh menamatkan saingan dalam kelompok tiga terbaik untuk layak ke Piala Dunia di Mexico.

Setakat ini, tuan rumah Mexico, Eropah Perancis dan Lithuania serta Kenya dan Afrika Selatan (benua Afrika) telah layak ke Piala Dunia, manakala tiga negara masing-masing dari Asia dan Amerika serta satu negara mewakili Oceania akan diketahui selepas kelayakan benua masing-masing.

 

Undian Piala Asia Baseball5:

 

Kumpulan A: MALAYSIA, Korea Selatan, Thailand.

Kumpulan B: Jepun, Hong Kong, Filipina.

Kumpulan C: Chinese Taipei, Pakistan, Singapura.

-- BERNAMA