Shaveena pasang impian ke Olimpik Paris 2024

Atlet Pulau Pinang Shaveena Mei Vejayan bergambar selepas meraih pingat emas dalam acara 10 Meter Air Rifle Wanita pada Sukan Malaysia 2022 (SUKMA) di Lapang Sasar Menembak Subang.
18/09/2022 08:42 PM

SUBANG JAYA, 18 Sept (Bernama) -- Selepas berjaya merangkul pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) ke-20, atlet menembak kebangsaan V. Shaveena Mei memasang impian untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024. 

Atlet Pulau Pinang berusia 20 tahun itu berkata kejayaannya memenangi emas acara 10 meter (m) air rifle wanita menjadi pembakar semangat untuk beliau menyasarkan kilauan pingat di pentas antarabangsa terutama di pentas Sukan Olimpik.

“Mestilah saya ada, (impian untuk ke olimpik) sasarannya adalah edisi di Paris, saya ada sasaran peribadi ke arah itu tetapi saya perlukan tempoh tertentu. 

Aksi atlet Pulau Pinang Shaveena Mei Vejayan dalam acara 10 Meter Air Rifle Wanita pada Sukan Malaysia 2022 (SUKMA) di Lapang Sasar Menembak Subang

“Saya perlu kumpul mata kuota luar negara dulu, seperti di kejohanan Piala Dunia, saya perlu lalui pemilihan kemudian baru boleh ke Piala Dunia dan ke Paris,” katanya kepada pemberita di Lapang Sasar Nasional Subang di sini hari ini. 

Sebagai rekod, dua atlet menembak negara pernah beraksi di Sukan Olimpik adalah Johnathan Wong pada edisi 2016 di Rio de Janeiro dan Nur Suryani Mohd Taibi yang membuat penampilan pada Olimpik London 2012 dan Tokyo 2020. 

Shaveena yang juga pelajar di Management and Science University berkata beliau mula menceburi dunia menembak ketika umurnya sembilan tahun.

“Tiada siapa yang ajak saya untuk sertai, saya sedang berjalan-jalan di Taman Botani Pulau Pinang dan saya ternampak sukan ini, saya sendiri yang buat penyelidikan bagaimana untuk sertai sukan ini,” katanya yang membuat penampilan terakhir di Sukma kali ini.

Pada saingan final hari ini, Shaveena mengesahkan kejayaan selepas mengutip keseluruhan 243.7 mata sementara perak menjadi milik atlet Wilayah Persekutuan Nur Izazi Rosli (243.5 mata) dan Nurul Athirah Huzaimi dari Perak meraih gangsa (219.2 mata).

Bagi kategori berpasukan acara sama didominasi kontinjen Negeri Sembilan yang mengumpul keseluruhan 1,842 mata untuk muncul juara manakala perak dan gangsa masing-masing diraih Perak (1,838 mata) dan Pulau Pinang (1,831 mata).

Sementara itu, bagi acara 25m sport pistol wanita menyaksikan atlet Johor Mumtazah Shahidah Shamsuri berjaya mengetepikan saingan atlet kebangsaan Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin apabila memperoleh mata tertinggi untuk merangkul emas.

Pingat perak dan gangsa pula diraih Khairunnabiha Baharin dari Johor dan wakil Perak Nurul Izzah Ahmad Khairi.

Johor berjaya mendominasi kategori berpasukan acara berkenaan dengan mengumpul keseluruhan 1,662 mata manakala perak milik Perak (1,641 mata) dan Pahang (1,626) membawa pulang gangsa.

-- BERNAMA