Pungutan pingat di Sukan SEA 2023 mungkin kurang - MOM

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Mohd Nazifuddin Najib
01/10/2022 09:48 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Kekurangan acara ‘lubuk emas’ pada Sukan SEA 2023 di Kemboja dilihat akan memberikan kesan kepada jumlah pungutan pingat emas yang mampu dituai kontinjen negara pada temasya sukan berkenaan.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib berkata keputusan Kemboja menyenaraikan lebih banyak sukan tradisional menyebabkan pungutan pingat negara mungkin berkurang atau sekurang-kurangnya menyamai pencapaian edisi ke-31 di Hanoi, Vitenam pada Mei lepas.

“Antara sukan tradisional yang akan dipertandingkan ialah renang sirip, catur kemboja, gusti dan bokator. Kita kena realistik sebab banyak sukan yang selalu dapat emas dikurangkan di Kemboja, jadi kena terima realiti kita tidak akan dapat emas sebanyak di Vietnam.

“Kita perlu fokus naratif di Kemboja banyak sukan dikurangkan contohnya terjun lapan acara jadi dua acara, jadi sasaran kita boleh dapat emas turun mungkin kita akan kehilangan sampai 12 pingat emas,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pasca Mesyuarat dan Penghargaan untuk Pengurus Pasukan dan Urusetia Kontinjen Malaysia Sukan SEA ke-31 yang dipengerusikan Ketua Kontinjen (CDM) Datuk Nur Azmi Ahmad.

Pada Sukan SEA ke-31, Malaysia menduduki tempat keenam selepas memenangi 39 pingat emas, 45 perak dan 90 gangsa, melepasi sasaran pingat 36-35-75.

Selain itu, Mohd Nazifuddin berkata khidmat atlet muda amat diperlukan dalam kontinjen negara di Kemboja.

“Kita melihat selepas Sukan Malaysia (Sukma) banyak atlet muda dan kita percaya di sana (Kemboja) dua sukan terdapat banyak acara iaitu olahraga dan renang. Jadi memang perlu atlet muda untuk mencapai podium,” katanya.

Beliau berkata MOM akan mengadakan pemilihan pada 11 Okt ini bagi menentukan saiz kontinjen dan berkemungkinan akan menghantar kontinjen kecil tetapi dengan pilihan untuk pulangan pingat yang baik.

Sementara itu, Nur Azmi berkata persiapan menghadapi Sukan SEA 2023 pasti lebih tersusun dan bersedia dengan mesyuarat yang diadakan hari ini.

Sukan SEA 2023 dijadual berlangsung dari 5 hingga 17 Mei tahun depan.

-- BERNAMA