Ranking BWF: Aaron-Wooi Yik duduki tempat keempat

Aaron Chia-Soh Wooi Yik (Gambar fail)
04/10/2022 10:44 PM

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik naik satu anak tangga ke kedudukan keempat dalam ranking terbaharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini selepas merangkul gelaran dunia di Jepun, Ogos lepas.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu yang mengumpul 90,328 mata, mengatasi juara dunia tiga kali Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia, yang berada di kedudukan kelima dengan 89,465 mata.

Dua lagi pasangan Malaysia iaitu Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani masing-masing kekal di tempat kesembilan dan ke-10 manakala beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi kekal di tangga teratas dengan 102,050 mata.

Yew Sin-Ee Yi mengumpul 72,490 mata manakala Sze Fei-Nur Izzuddin mengumpul 69,375 mata.

Sementara itu, naib juara Terbuka Vietnam 2022, Goh Jin Wei muncul perseorangan wanita terbaik negara selepas melonjak enam anak tangga ke tangga ke-44 dengan mengumpul 34,601 mata untuk memintas juara Sukan SEA 2019, S. Kisona, yang menduduki tempat ke-46 dengan 33,749 mata.

Bagi perseorangan lelaki, pemain profesional Malaysia Lee Zii Jia kekal di tempat ketiga dengan 91,578 mata, di belakang pemain Denmark, Viktor Axelsen (122,606 mata) dan Anders Antonsen (92,700 mata).

-- BERNAMA