Daneshen terus unggul raih emas

G. Daneshen (Gambar fail)
05/11/2022 05:10 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Atlet memanah negara G. Daneshen meneruskan rentak cemerlangnya apabila meraih dua lagi pingat emas temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2022 hari ini.

Selepas mengungguli acara compound terbuka lelaki, atlet dari Kedah yang mempunyai masalah saraf kaki sejak lahir akibat penyakit polio itu meraih pingat emas pusingan Olimpik individu selepas mengenepikan wakil Pulau Pinang Mohamed Saifullrizal Mohamed Sakhir 135-131 pada aksi final di Padang Turf Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Atlet berusia 25 tahun itu menambah koleksi emas peribadinya apabila muncul juara kategori beregu bersama Azrul Abd Rashid mengecewakan gandingan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Muhammad Aizat Zaini-Muhammad Nazri Ariffin 148-121.

Bagaimanapun, Daneshen yang digandingkan dengan J. Sharon terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas kepada wakil Perak, Nur Jannaton Abdul Jalil-Mohd Zafi Rahman Mat Saleh 140-128 pada aksi final acara berpasukan campuran.

“Saya sangat gembira dapat raih emas lagi hari ini dengan secara keseluruhan saya dapat tiga emas dan satu perak dalam Para Sukma kali ini. Semasa musim lepas di Perak (2018), sekadar meraih satu pingat gangsa dalam acara beregu lelaki terbuka. 

“… angin memang kuat semasa acara individu tadi namun usaha saya selama ini berbaloi. Untuk pengetahuan semua, ini pertama kali saya digandingkan bersama Sharon jadi pingat perak itu sudah cukup besar maknanya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini. 

Beliau mendedikasikan kejayaan diraih kepada bapanya R. Govinda, ahli keluarga dan barisan kejurulatihan yang banyak membantu sepanjang kariernya dalam arena sukan memanah. 

-- BERNAMA