Para Sukma: Muhd Amin sumbang emas buat Labuan

Atlet Labuan Muhd Amin Burhanuddin (Gambar: Farah Najihah Zuraimi)
06/11/2022 02:45 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Atlet Labuan Muhd Amin Burhanuddin mencipta sensasi dalam penampilan sulungnya pada temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2022 selepas mengungguli acara badminton kategori SL4 (kecacatan fizikal), hari ini. 

Atlet berusia 30 tahun itu mudah menundukkan pemain perseorangan Johor Mohd Yusman Md Zahar, 21-10, 21-5 dalam pertarungan yang berlangsung selama 23 minit di Stadium Juara, Bukit Kiara. 

Muhd Amin berkata beliau tidak menyangka sama sekali mampu menghadiahkan pingat emas buat negeri kelahirannya, namun bersyukur segala persiapan yang dijalankan selama ini berjalan lancar. 

“Memang gementar tetapi saya sentiasa cuba positifkan diri sepanjang perlawanan berlangsung. Saya berusaha kekalkan rentak permainan walaupun sebenarnya pada akhir set kedua kaki kanan saya sudah mulai rasa sakit. 

“Sejak dilahirkan saya mempunyai kecacatan kaki kanan yang dinamakan sebagai ‘right ciev with surgical intervention/ SL4’, jadi memang kalau mahu teruskan dalam arena badminton kena sentiasa lakukan latihan kuatkan kaki kanan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. 

Beliau mendedikasikan kejayaan diraih itu kepada ahli keluarga dan barisan kejurulatihan yang banyak membantu sepanjang kariernya dalam arena sukan para badminton bermula tiga tahun lepas. 

Pemain yang berada pada ranking ke-53 para dunia itu turut berkongsi akan menyertai lebih banyak kejohanan di dalam dan luar negara dalam usaha menempah slot ke Sukan Paralimpik 2024 di Paris. 

“Untuk tahun ini sudah habis kejohanan, dan akan mula sertai balik tahun hadapan untuk kumpul mata kelayakan ke Paris. Namun, saya perlu memastikan bebas daripada sebarang kecederaan terutamanya di kaki kanan,” katanya. 

-- BERNAMA