Nur Jannaton tidak pernah mimpi raih atlet terbaik Para Sukma

Atlet Lelaki Terbaik Para olahraga Mohammad Zikri Zakaria (kiri) dan Atlet Wanita Terbaik Para memanah Nur Jannaton Abdul Jalil bergambar bersama trofi yang dimenangi mereka ketika Majlis Perasmian Penutupan Sukan Para Sukma XX MSN 2022.
07/11/2022 09:16 AM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Pemanah compound Nur Jannaton Abdul Jalil tidak pernah termimpi untuk dinobatkan sebagai Atlet Wanita Terbaik temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2022.

Atlet berusia 27 tahun dari Perak itu berkata beliau hanya hadir dengan hasrat untuk mempamerkan prestasi diharapkan kontinjen negeri diwakilinya pada temasya tersebut yang berlangsung dari 1 hingga 6 Nov.

“Saya fikir betulkah saya dapat, layak ke saya? Rasa macam apa saya buat untuk layak dapatkan anugerah ini? Namun saya gembira dengan pencapaian ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian penutupan Para Sukma 2022 malam tadi.

Beliau beraksi cemerlang apabila berjaya merangkul tiga emas menerusi acara 50m individu, pusingan Olimpik Individu dan 50m pasukan campuran bersama Zafi Rahman Mat Saleh.

Panahan 638 mata dalam acara 50m individu berjaya meletakkan Nur Jannaton dalam senarai 25 atlet terbaik dunia dan lima terbaik Asia untuk acara compound wanita.

Nur Jannaton seterusnya mahu memperbaiki dan memantapkan lagi teknik serta mencari gaya panahan yang sesuai dengan keadaan statur rendahnya dalam usaha melayakkan diri ke temasya Paralimpik Paris 2024.

Pemenang pingat emas berpasukan campuran compound Sukan Para ASEAN (APG) Solo, Indonesia itu  turut menetapkan sasaran untuk mengekalkan emas di temasya APG Kemboja dan Sukan Para Asia Hangzhou di China, kedua-duanya tahun depan.

Sementara itu, Mohamad Zikri Zakaria yang dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik Para Sukma 2022, berkata prestasinya untuk meraih tiga emas dengan memecahkan tiga rekod temasya bagi kategori F55 (berkerusi roda), berjaya dicapai kerana beraksi tanpa tekanan.

“Saya rasa aksi di Para Sukma lebih baik berbanding APG pada Ogos lepas kerana tiada tekanan dan bertanding dalam negara. Saya juga lebih matang dapat menggunakan pengalaman yang diperoleh di Solo.

“Saya mendedikasikan anugerah ini kepada keluarga dan para jurulatih yang sentiasa membantu saya. Saya gembira dapat jumpa kawan-kawan dari negeri lain dan bakat-bakat baharu,” katanya.

Atlet berusia 23 tahun dari Melaka itu mencatatkan rekod baharu lempar cakera dengan jarak sejauh 22.75 meter (m) mengatasi catatan lama 18.45m, rekod merejam lembing dengan 20.97m (18.26m) dan rekod lontar peluru dengan jarak 9.61m (7.26m).

Pencapaian lontar peluru meletakkan beliau di kedudukan kedua Asia serta kedudukan keempat bagi dua acara lain, sekali gus menjadikannya sebagai pencabar podium di Sukan Asia Hangzhou dan atlet pilihan juara di Sukan Para ASEAN (APG) Kemboja, tahun depan.

-- BERNAMA