Liek Hou puas hati rampas semula gelaran juara dunia

Pemain badminton Paralimpik negara Cheah Liek Hou
07/11/2022 03:22 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou berpuas hati dapat merampas semula gelaran juara perseorangan SU5 (kecacatan fizikal) pada Kejohanan Para Badminton Dunia di Yoyogi National Gymnasium di Tokyo, Jepun semalam.

Berkongsi mengenai kejayaannya, pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 itu mengakui beliau sebenarnya melalui perlawanan yang sukar sepanjang perjalanan ke final kerana gagal menemui rentak permainan sebenar.

Atlet berusia 34 tahun itu berkata keadaan yang berbeza di venue kejohanan berbanding ketika memenangi emas Paralimpik di Tokyo tahun lepas, menjejaskan mutu persembahan di gelanggang sekali gus mempengaruhi motivasinya.

“Mungkin tahun ini cuaca sejuk atau tetapan lampu lain sedikit, jadi rasa nak bertanding atau pukul bulu tangkis agak berbeza, tetapi nasib baik di final saya dapat kawal bulu tangkis dengan lebih bagus berbanding pemain lawan (Dheva Anrimusthi).

“Saya rasa sangat bangga dan berpuas hati kerana dapat merampas balik gelaran kejohanan dunia apabila pada 2019 saya kalah di separuh akhir kepada pemain Indonesia ini (Dheva),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada final yang berlangsung di Yoyogi National Gymnasium di Tokyo, Liek Hou menumbangkan Dheva 21-14, 21-12  sekali gus membalas dendam kekalahan kepada lawan sama di peringkat separuh akhir pada edisi 2019.

Kejayaan semalam menyaksikan Liek Hou meraih gelaran dunia ke-12 selepas muncul juara perseorangan kali ketujuh dan mengumpul lima kejuaraan bagi kategori beregu lelaki SU5.

Sementara itu, beliau menyasarkan untuk menyertai antara enam hingga lapan kejohanan pada tahun depan dalam usaha mengumpul mata bagi melayakkan diri ke Sukan Paralimpik 2024 di Paris, Perancis.

Sebelum ini, Liek Hou merangkul kejuaraan perseorangan pada 2005, 2007, 2011, 2013, 2015 dan 2017, manakala bagi beregu beliau meraih kejuaraan pada 2005, 2007, 2011, 2013 dan 2015.

-- BERNAMA