FAM harap kehadiran Soleen bawa aura baharu bola sepak wanita negara

Kredit : Fb Football Association of Malaysia
09/11/2022 04:00 PM

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berharap agar pelantikan Soleen Al-Zou'bi dari Jordan sebagai ketua jurulatih baharu skuad Malayan Tigress mampu memberi nafas baharu kepada bola sepak wanita negara.

Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM Datuk Suraya Yaacob berkata kehadiran Soleen diharap mampu melonjakkan bola sepak wanita negara terutama dalam memastikan skuad kebangsaan memberikan saingan terbaik di pentas antarabangsa.

Selain itu, beliau berkata langkah terbaharu FAM itu dapat merancakkan lagi minat remaja perempuan dan wanita menceburi sukan tersebut sekali gus dapat memperbesar kumpulan bakat berpotensi.

"Sudah tentu ini satu langkah besar buat bola sepak wanita negara kerana kita telah mengambil jurulatih dari luar yang mempunyai latar belakang agak baik sebagai pengendali baharu skuad kebangsaan selepas hanya menggunakan jurulatih tempatan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Soleen bukan sahaja bertindak sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak wanita, malah beliau juga akan menggalas tugas selaku Ketua Unit Wanita FAM bagi merancang program berkaitan bola sepak wanita di negara ini," katanya menerusi hantaran di laman Facebook FAM hari ini.

Antara kejohanan atau temasya sukan bakal disertai skuad wanita kebangsaan tahun depan adalah Sukan SEA 2023 di Kemboja, Kelayakan Olimpik 2024 dan Kejuaraan Wanita AFF 2023.

Sementara itu, skuad remaja akan bersaing pada Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2024, Kejuaraan Wanita B-19 AFF 2023, Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 2024 dan Kejuaraan Wanita B-16 AFF 2023.

Selain berterima kasih kepada FAM termasuk presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin di atas persetujuan melantik Soleen, Soraya juga mengalu-alukan kerjasama serta sokongan semua pihak dalam memperkasakan bola sepak wanita negara.

Soleen yang ketika ini Ketua Unit Bola Sepak Wanita dan Penolong Pengarah Teknikal di Persatuan Bola Sepak Jordan (JFA) akan mula melapor diri di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 1 Dis ini.

-- BERNAMA