Gabriel-Muhammad Syafiq tak sertai Grand Prix FINA di KL

Pemenang pingat perak acara terjun 3 meter (m) papan anjal seirama Sukan Komanwel BIrmingham 2022 pasangan Gabriel Gilbert Daim-Muhammad Syafiq Puteh tidak akan menyertai Grand Prix Terjun FINA 2022 di sini dari 25-27 Nov ini.
20/11/2022 03:51 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Pemenang pingat perak acara terjun 3 meter (m) papan anjal seirama Sukan Komanwel BIrmingham 2022 pasangan Gabriel Gilbert Daim-Muhammad Syafiq Puteh tidak akan menyertai Grand Prix Terjun FINA 2022 di sini dari 25-27 Nov.

Penolong Jurulatih Kebangsaan Datuk Leong Mun Yee terpaksa menarik diri daripada kejohanan yang akan berlangsung di Pusat Akuatik Negara Bukit Jalil itu disebabkan kecederaan pada buku lali baru-baru ini, manakala Muhammad syafiq masih dalam pemulihan daripada demam denggi.

“Syafiq kurang sihat kerana denggi manakala doktor suruh Gabriel rehat selepas mengalami kecederaan buku lali dua minggu lepas,” katanya kepada Bernama.

Oleh sebab itu Mun Yee berkata skuad kebangsaan kini akan meletakkan harapan pada penerjun seperti Jellson Jabilin dan Hanis Nazirul Jaya Surya bagi acara 10m platform serta Ooi Tze Liang, Chew Yiwei  dan penerjun muda Enrique Maccartney Harold untuk 3m papan anjal.

Sementara itu Mun Yee berkata ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong akan mengetuai skuad wanita yang akan disertai Nur Dhabitah Sabri, Wendy Ng Yan Yee, Ong Ker Ying dan Kimberly Bong.

Beliau berkata Nur Dhabitah akan mengambil bahagian dalam dua acara iaitu 3m papan anjal dan juga 10m platform bersama Pandelela.

Selain itu Wendy, Ker Ying dan Kimberly akan menyertai acara 3m papan anjal.

Sementara itu bekas penerjun negara berusia 37 tahun itu berharap kejohanan itu akan menjadi satu platform yang baik bagi menyediakan penerjun untuk Sukan SEA di Phnom Penh, Kemboja pada Mei dan diikuti Sukan Asia di Hangzhou, China serta Sukan Olimpik Paris 2024.

“Kejohanan kali merupakan peluang besar untuk atlet kita menyerlah, kerana saya difahamkan negara lain yang sertai antaranya Australia, Indonesia dan Korea Selatan hantar penerjun baharu.

“Selain dari memberikan pendedahan, kami juga mahu mencuba pasangan baharu seperti Jellson-Enrique dalam acara 10m platform dapat beraksi dengan baik atau tidak,” katanya.

-- BERNAMA