AJBC cungkil bakat baharu, mahu lahir jaguh badminton Sukan Olimpik

Pemenang-pemenang keseluruhan bergambar kenangan selepas Perlawanan Akhir Kejohanan Badminton Junior Allianz (AJBC) 2022 di Stadium Bukit Juara Kuala Lumpur.
26/11/2022 05:19 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Allianz Malaysia Berhad mahu membantu Malaysia melahirkan juara  Sukan Olimpik pada masa depan menerusi penganjuran Kejohanan Badminton Junior Allianz (AJBC).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sean Wang, berkata penganjuran kejohanan julung kalinya diadakan tahun ini secara tidak langsung dapat meneroka bakat baharu berpotensi mengharumkan nama Malaysia di persada dunia kelak.

“Ya, memang itu niat kami (juara Sukan Olimpik), untuk cungkil bakat dari peringkat bawahan terutamanya dalam kalangan umur 13 dan 15 tahun.

“Kami merupakan syarikat korporat pertama menganjurkan kejohanan secara percuma untuk pemain muda yang turut d sokong Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM),” katanya kepada pemberita pada perlawanan akhir di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Memandangkan kejohanan sulung mendapat sambutan luar jangkaan apabila menarik minat 2,300 peserta dan melepasi jangkaan 2,000 peserta di Semenanjung Malaysia, Wang, berkata pihaknya bercadang untuk mengembangkan lagi pertandingan di Sabah dan Sarawak pada tahun depan.

Dalam pada itu, beliau berkata kesemua finalis pada hari ini akan menyertai kem latihan pusat pada bulan depan yang dibimbing oleh jurulatih terkemuka selain menyediakan platform kepada BAM dan persatuan negeri mengenal pasti potensi pemain.

Beliau pada masa sama mengharapkan agar syarikat korporat lain dapat tampil ke depan bagi menganjurkan kejohanan sebegini dalam usaha merancakkan lagi pencarian bakat baharu sukan popular negara itu.

Sementara itu, antara aksi final hari ini menyaksikan Razeeq Daniel Roslie mewakili  Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Jasmin , Kajang, dinobatkan juara perseorangan lelaki bawah 15 tahun (B-15) selepas menewaskan wakil Kuala Lumpur, Wong Jia Lun, 21-14, 21-13.

“Saya harap dapat menjadi seperti pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen satu hari nanti,” kata Razeeq.

Aksi perseorangan wanita B-15 pula diungguli Teh Xin Ying dari SMK Seri Bintang Selatan yang menumpaskan pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Jit Sin, Bukit Mertajam iaitu Ng Hui Min 22-20, 21-9.

Pemenang membawa pulang RM1,000, diikuti RM500 bagi tempat kedua dan ketiga manakala RM200 untuk kedudukan keempat.

-- BERNAMA