Waktu rehat beregu dah tamat - Rexy

Rexy Mainaky
13/01/2023 01:13 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky menegaskan waktu rehat pemain beregu negara sudah tamat, dan tiba masanya kembali fokus membuktikan prestasi untuk menggalas cabaran pada Sukan Olimpik Paris 2024. 

Rexy, pemenang Sukan Olimpik 1996, menyifatkan adalah kurang profesional bagi individu bergelar atlet, untuk memberi alasan beraksi di bawah tekanan setiap kali gagal mara lebih jauh dalam kejohanan yang disertai. 

Sebaliknya, beliau menuntut mereka membuktikan kemampuan masing-masing dan berjuang habis-habisan untuk merangkul kejayaan dan kelayakan berada pada ranking ketiga dunia bagi Aaron Chia-Soh Woi Yik, keenam dunia (Pearly Tan-M.Thinaah) dan ranking ke-10 dunia Goh Sze Fei-Nur Izzudin Mohd Rumsani. 

“Mereka (beregu negara) harus faham perayaan Krismas dan Tahun Baru sudah lepas...Santa Claus yang mahu bagi mereka hadiah pun sudah tiada, jadi perlu harus kembali fokus buat kerja serius. Tiada lagi cuti.

“Alasan seperti tekanan bermain di tanah air sendiri tidak boleh diguna pakai pemain kelas dunia seperti mereka, lihat beregu Indonesia, Jepun, Korea Selatan yang mampu menampilkan aksi terbaik di tanah air mereka,” katanya kepada pemberita.

Mengulas mengenai kekalahan kesemua gandingan beregu lelaki dan wanita di bawah kendalian BAM pada kejohanan Terbuka Malaysia 2023, beliau nyata kecewa terhadap keputusan berkenaan. 

Pengendali berusia 54 tahun itu bagaimanapun berkata beliau kini sedang merangka satu pelan hala tuju bersama barisan tertinggi BAM bagi memantapkan persiapan yang lebih bersistematik untuk diterapkan dalam pasukan negara. 

Rexy memaklumkan perjumpaan bersama barisan pemain telah diadakan baru-baru ini, dengan perhatian akan diberikan mengikut kehendak beregu lelaki, manakala rakan sepelatih akan dicari bagi beregu wanita. 

“Mereka (Aaron-Woi Yik) main seperti tidak ada jiwa, perkara itu selalu berlaku kepada mereka yang seperti menunggu sahaja pihak lawan membuat kesalahan. Tetapi sekurang-kurangnya kita nampak Pearly-Thinaah cuba beri tekanan,” katanya. 

Semalam, Aaron-Wooi Yik, yang turun sebagai pilihan keempat kejohanan ditewaskan gandingan keenam dunia, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dari China 10-21, 21-23 dalam perlawanan yang berlangsung selama 41 minit. 

Sze Fei-Nur Izzudin tewas kepada gandingan China Liang Wei Keng-Wang Chang, 21-16, 11-21, 17-21, manakala Pearly-Thinaah, yang turun sebagai pilihan kelapan kejohanan ditundukkan gandingan adik-beradik, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva dari Bulgaria, 19-21, 21-14 pada pusingan pertama.

-- BERNAMA