NSAM sasar penembak negara raih kedudukan lapan terbaik dalam setiap kejohanan

Setiausaha Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia Mejar Jasni Shaari ketika ditemui media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini.
26/01/2023 08:27 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) menyasarkan para penembak kebangsaan untuk berada di kedudukan sekurang-kurangnya lapan terbaik, pada setiap kejohanan disertai tahun ini.

Setiausahanya Mejar Jasni Shaari berkata sasaran itu diletakkan kepada tiga atlet Program Podium iaitu Johnathan Wong, Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin dan Alia Shazana Azhari, bermula pada Piala Dunia Menembak 2023 di Jakarta, Indonesia.

“Jika mereka berada pada kedudukan lapan terbaik pada pusingan kelayakan, mereka akan ke final dan berpeluang raih pingat.

“Ini kerana markah dari pusingan kelayakan tidak dibawa ke final, jadi peluang tetap ada untuk raih pingat. Dari segi markah pula kami masih perhalusi berapa markah yang penembak perlu capai,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan (JKK) bersama Majlis Sukan Negara di sini, hari ini.

Jasni pada masa sama berkata NSAM mengharapkan, agar penembak kebangsaan dapat meraih slot secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024 di Perancis.

Pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, penembak veteran Nur Suryani Mohamed Taibi muncul satu-satunya penembak negara layak beraksi di temasya sukan terbesar itu, namun menerusi tiket wildcard bagi acara 50 meter rifle posisi 3 wanita.

Jasni juga memaklumkan masih terlalu awal bagi NSAM untuk menetapkan sasaran pingat di Sukan Asia 2022 di Hangzhou pada 23 Sept-8 Okt ini, kerana mahu menilai prestasi  penembak negara dalam kejohanan disertai sebelum ke China.

Dalam pada itu, beliau telah menyenaraikan seramai 25 penembak yang berpotensi untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan di Bukit Jalil.

-- BERNAMA