THT Pertaruh Tiga Import Hadapi MHL

28/01/2023 10:15 PM

KUALA TERENGGANU, 28 Jan (Bernama) -- Tiga pemain import Korea Selatan menjadi taruhan Terengganu Hockey Team (THT) bagi menghadapi saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini.

Presiden Persatuan Hoki Terengganu, Mohd Fikri Harun berkata mereka terdiri daripada Choi Hoil, Yoo Seung Ho dan Jang Jonghyun, bintang hoki Korea Selatan yang berpengalaman beraksi di pentas Olimpik.

Beliau berkata selain itu sandaran turut diletakkan kepada ketua jurulatih hoki baharu THT, Seo Jongho yang berpengalaman luas dan pernah menggalas tugas sebagai penolong jurulatih THT untuk menerajui pasukan.

Para pemain memperagakan jersi baharu pada Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Penaja dan Pemain Pasukan Hoki Terengganu (THT) dan Pasukan Hoki Wanita Terengganu - MSNT (TLHT-MSNT) sempena TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2023.

"Pasangan adik beradik, Mohd Faizal Saari dan Mohd Fitri Saari masih setia dengan skuad The Turtles musim ini.

Turut kekal ialah tiga pemain kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Othman, Mohammad Marhan Mohd Jalil dan Muhammad Arif Syafie Ishak," katanya pada majlis pelancaran jersi, memperkenalkan penaja dan pemain sempena MHL 2023 di sini, hari ini.            

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Mohd Fikri berkata  kehadiran tiga import baharu itu diharap dapat membantu THT mencapai sasaran meraih gelaran trebel musim ini.

Menurut beliau pihaknya percaya perubahan taktikal yang akan dilaksanakan ketua jurulatih akan membolehkan THT merampas kembali Piala TNB yang terlepas ke tangan pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) tahun lepas.

"Setakat ini kita diberitahu oleh barisan kejurulatihan yang kehadiran dua import remaja Korea Selatan, Hoil dan Seung Ho memberi impak bagus kepada pasukan.

Kita harap impak tersebut berterusan dan THT dapat menjulang kembali Piala Sumbangsih dan mempertahankan gelaran juara MHl yang dimenangi tahun lepas," katanya.

Dalam pada itu Mohd Fikri berkata untuk tahun ini juga, pasukan hoki wanita Terengganu, Terengganu Ladies Hockey Team-Majlis Sukan Negeri Terengganu (TLHT-MSNT) akan kembali mewarnai saingan MHL selepas dua tahun menyepi.       

Walau bagaimanapun katanya sasaran tinggi tidak diletakkan kepada pasukan TLHT-MSNT kerana penyertaan mereka lebih kepada memberi pendedahan bagi atlet muda.

"Kita gabungkan TLHT-MSNT untuk beri pendedahan kepada atlet Sukan Malaysia (Sukma) yang akan beraksi pada temasya itu pada 2024," katanya.

Dalam pada itu Wan Sukairi berkata kerajaan negeri telah menambah suntikan dana sebanyak RM2.5 juta kepada Persatuan Hoki Negeri Terengganu tahun ini berbanding RM2 juta tahun lepas.

"Penambahan sebanyak RM500,000 ini untuk menampung perbelanjaan akademi pembangunan hoki negeri yang baru ditubuhkan dan juga untuk penganjuran sebuah kejohanan bertaraf antarabangsa pada 9 Ogos nanti," katanya.            

-- BERNAMA