KBS bentuk projek Road To Gold demi emas sulung negara di Sukan Olimpik

12/03/2023 05:10 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengumumkan pembentukan pasukan projek “Road To Gold” (RTG) yang dianggap sebagai projek nasional dengan objektif untuk menyelaras usaha negara dalam memburu pingat emas sulung di Sukan Olimpik.

Jawatankuasa RTG dipengerusikan bersama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sementara Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai Ketua Kontinjen ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Ahli Jawatankuasa antaranya terdiri daripada Ketua Setiausaha KBS Dr Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Mohd Ramli.

Melengkapi senarai ialah Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak, bekas jaguh skuasy Datuk Nicol Ann David yang turut dipilih sebagai Timbalan Ketua Kontinjen Paris 2024, legenda badminton Datuk Lee Chong Wei dan legenda hoki Datuk Mirnawan Nawawi.

Pada masa sama, CEO Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam sebagai penyelaras projek dan akan dibantu oleh CEO Akademi Badminton Malaysia (ABM) Michelle Chai selaku pembantu penyelaras projek.

Yeoh berkata mengambil kira struktur dan kaedah pelaksanaan projek Olimpik sebelum ini serta baki tempoh setahun bagi menghadapi Olimpik Paris tahun hadapan, jawatankuasa RTG akan menyediakan rangka kerja jangka panjang meliputi Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

“Oleh itu Jawatankuasa Gold Paris kini dikenali sebagai Jawatankuasa Road To Gold. Jawatankuasa ini akan bekerjasama dengan Program Podium sedia ada yang mana ia memberi tumpuan kepada program persediaan atlet elit,” katanya pada sidang media di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini, hari ini.

Yeoh berkata tumpuan kepada program persediaan atlet elit meliputi latihan harian, latihan di luar negara termasuk lebih pendedahan kepada pertandingan dalam dan luar negara, penyediaan khidmat jurulatih, kakitangan sokongan, perkhidmatan sains sukan dan perubatan serta program bina diri.

Menurut beliau, Jawatankuasa RTG akan memperkasa Program Podium melalui pemantauan di peringkat kementerian bagi mengukuhkan lagi jawatankuasa yang akan memberi fokus kepada menghapuskan sekatan, mengatasi had sedia ada dan menyediakan sokongan tambahan untuk bakal pemenang pingat.

Katanya sokongan tambahan yang diperlukan akan disesuaikan mengikut keperluan setiap individu yang berpotensi melalui konsultasi dengan atlet dan jurulatih masing-masing serta tidak tertumpu kepada sokongan fizikal sahaja, malah bagi keseluruhan kesejahteraan diri mereka.

Sementara itu, mengulas mengenai pemilihan Stuart, Hannah berkata latar belakang bekas Setiausaha Agung FAM dari 2018 hingga 2021 itu menjadikannya calon yang sesuai kerana peranan itu memerlukan kepakaran menjalinkan kerjasama dengan semua pihak berkepentingan secara strategik.

“Kedua-dua Stuart dan Michelle membawa bersama mereka pengalaman kerja yang luas dengan badan dan agensi sukan antarabangsa. Tugas segera jawatankuasa ini adalah untuk mengenal pasti keperluan tambahan yang diperlukan bagi menjayakan misi meraih emas di Olimpik,” katanya.

Yeoh berkata semua pelantikan ialah atas dasar sukarela sebagai sebahagian daripada usaha pembinaan negara secara kolektif.

Dalam pada itu, katanya bagi Sukan Paralimpik, program emas para altet diteruskan di bawah Program Podium di peringkat MSN.

-- BERNAMA