Ee Yi-Yew Sin, Kian Meng-Pei Jing mara pusingan kedua All England

15/03/2023 12:31 AM

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Beregu profesional lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin unggul meloloskan diri ke pusingan kedua kejuaraan All England 2023 selepas menyingkirkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Lee Yang dan Wang Chi Lin, di Birmingham, malam ini. 

Turun sebagai pilihan kelapan kejohanan, Ee Yi-Yew Sin, bagaimanapun, terpaksa bekerja keras untuk menunjukkan jalan keluar kepada pasangan Taiwan itu apabila terpaksa bertarung sehingga ke set penentuan 12-21, 21-16, 21-18 selama 57 minit pada pusingan pertama. 

Pasangan yang berada pada ranking kelapan dunia itu akan membuat perhitungan dengan juara bertahan, Muhammad Shohubul Fikri-Bagas Maulana dari Indonesia, bagi merebut tiket ke suku akhir, Khamis ini.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga cemerlang apabila mara ke pusingan kedua dengan mudah menundukkan pasangan Indonesia, Rinov Rinaldy-Pitha Haningtyas Mentari,  dalam perlawanan straight set, 21-19, 21-18. 

Turun sebagai pilihan keenam kejohanan, Kian Meng-Pei Jing akan bertemu pasangan yang berada di ranking ke-16 dunia dan naib juara edisi 2021, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo dari Jepun, pada pusingan kedua esok. 

Mengikut rekod pertemuan sebelum ini, beregu Jepun itu pernah menewaskan Kian Meng-Pei Jing yang kini menghuni tangga keenam dunia, sekali pada Terbuka Perancis pada Oktober lalu. 

Sementara itu, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah, tewas mengejut pada pusingan pertama kepada pasangan Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara, 13-21, 21-15, 15-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama 55 minit. 

Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut mengalami nasib yang sama apabila ditundukkan pasangan Jepun, Yuki -Misaki dari Jepun, 19-21, 24-22, 17-21. 

-- BERNAMA