Zii Jia Pilih Tat Meng Sebagai Pengarah Kejurulatihan Team Lzj

Pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia.
23/05/2023 07:48 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Jaguh badminton negara Lee Zii Jia memilih bekas pemain badminton negara Wong Tat Meng sebagai Pengarah Kejurulatihan Team LZJ yang baharu dalam usahanya untuk layak ke Olimpik Paris 2024.

Kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman Twitter rasmi Team LZJ hari ini memaklumkan bahawa, bekas pemain berusia 56 tahun itu, membawa bersama pengalamannya yang meluas sepanjang tempoh beliau menjadi jurulatih bersama pasukan kebangsaan Malaysia, Indonesia, Scotland, Korea Selatan, dan juga Hong Kong.

“Beliau akan mula melatih Zii Jia sebaik sahaja proses pemindahannya dari Hong Kong ke Malaysia selesai.

“Tugas pertama jurulatih Tat Meng ialah menyediakan satu program yang dapat membantu Zii Jia mencapai prestasi konsisten, memperbaiki ranking dunia dan juga layak ke Sukan Olimpik Paris 2024,” menurut kenyataan itu.

Tat Meng merupakan salah seorang watak utama yang membawa skuad wanita Korea Selatan ke Piala Uber 2022 di Impact Arena di Thailand tahun lepas.

Korea Selatan menewaskan juara bertahan China 3-2, untuk merangkul Piala Uber buat kali kedua dalam sejarah, selepas memenanginya pada 2010.

Zii Jia telah beraksi tanpa jurulatih sepenuh masa sejak berpisah dengan bekas jurulatihnya Indra Wijaya dari Indonesia, November tahun lepas.

-- BERNAMA