Tiada Masalah Dengan Pelantikan Tat Meng - Zii Jia

Pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia.
25/05/2023 01:20 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Lee Zii Jia tidak mempunyai masalah besar berhubung pelantikan Wong Tat Meng sebagai jurulatih baharu pemain perseorangan profesional negara itu.

Apa yang lebih penting kata Zii Jia ialah hakikat bahawa Tat Meng merupakan jurulatih tempatan yang mempunyai ciri-ciri diperlukan untuk membantu pemain nombor satu dunia itu merealisasikan impian mengejar emas Olimpik buat negara di Paris 2024.

“Saya tak rasa ia isu besar, kita teruskan dan cuba jadi positif kerana akhirnya saya mempunyai jurulatih.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya gembira dengan berita ini dan jurulatih saya pun orang tempatan, jadi mari kita saling membantu untuk mengejar impian Olimpik …. Diharapkan beliau dapat membawa saya selangkah lebih tinggi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Malaysia Masters 2023 di sini.

Pemain badminton berusia 25 tahun itu berkata demikian mengulas hantaran media sosial oleh pemain perseorangan lelaki nombor satu Hong Kong Angus Ng Ka Long, yang melahirkan kekecewaan apabila Tat Meng meninggalkan pasukannya, membuatkan mereka berdepan situasi yang sulit kerana sedang membuat persiapan untuk Sukan Asia di Hangzhou, China dari 23 Sept hingga 8 Okt.

Zii Jia berkata pelantikan Tat Meng dilakukan mengikut undang-undang dan semua usaha untuk mencapai kesepakatan dengan jurulatih berusia 55 tahun itu bermula apabila beliau ke Hong Kong untuk menjalani latihan singkat dengan skuad perseorangan lelaki pada April lepas.

Ditanya mengapa Tat Meng menjadi “insan terpilih”, atlet berasal dari Kedah itu berkata bekas jurulatih pasukan kebangsaan Korea Selatan itu mempunyai pengalaman luas di luar negara termasuk membimbing Korea Selatan sehingga menjuarai Piala Uber edisi 2022 dan membentuk pemain nombor dua dunia An Se Young berusia 21 tahun, sebagai seorang daripada pemain perseorangan wanita utama pada masa ini.

Dalam pada itu, bekas juara Asia itu berkata beliau menjangkakan Tat Meng akan menyertai pasukannya selepas Terbuka Indonesia 2023, yang dijadualkan berlangsung di Jakarta bermula 13 hingga 18 Jun. 

Selain Hong Kong dan Korea Selatan, Tat Meng juga pernah berkhidmat untuk Persatuan Badminton Malaysia dari 2003 hingga 2011 dan 2013 hingga 2016 serta Indonesia pada 2012 dan Scotland bermula 2016 hingga 2018.

Di Malaysia, Tat Meng menyelia kebangkitan bekas pemain perseorangan wanita negara Wong Mew Choo apabila beliau memenangi Terbuka China 2007.

Selasa lepas, Pasukan LZJ (Team LZJ) menerusi hantaran dalam media sosial mengumumkan tugas segera Tat Meng ialah merangka program yang akan membantu Zii Jia mencapai prestasi konsisten, meningkatkan kedudukan dunia dan layak ke Sukan Olimpik 2024.

Zii Jia telah beraksi tanpa jurulatih sepenuh masa selepas berpisah dengan bekas jurulatihnya Indra Wijaya dari Indonesia pada akhir tahun lepas.

Ketika ditemui Bernama, Ka Long bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkenaan peletakan jawatan Tat Meng daripada Persatuan Badminton Hong Kong dan hanya mengucapkan selamat maju jaya untuk usaha masa depannya bersama Zii Jia.

-- BERNAMA