Zii Jia Tersingkir Awal Lagi Di Tempat Sendiri

Reaksi Atlet perseorangan negara Lee Zi Jia selepas tewas pada perlawanan menentang pemain Taiwan Lin Chun Yi pada pusingan kedua kejohanan Perodua Malaysia Master 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil hari ini. Atlet negara tewas dengan keputusan 21-19, 16-21, 21-15. --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
25/05/2023 11:16 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Adakah Arena Axiata “gelanggang berhantu” kepada pemain kegemaran peminat badminton negara, Lee Zii Jia? 

Ini mungkin ada kebenarannya selepas jaguh perseorangan lelaki profesional negara itu sekali lagi tersingkir di peringkat awal di gelanggang itu selepas beliau tewas kepada wakil Taiwan Lin Chun-Yi, 19-21, 21-16, 15-21 pada pusingan kedua kejohanan Masters Malaysia di sini hari ini.

Biarpun merasa tidak sihat ketika perlawanan itu, Zii Jia wajar diberi pujian kerana beliau mampu menamatkan perlawanan yang berlangsung selama sejam 27 minit.

Aksi atlet perseorangan negara Lee Zi Jia pada perlawanan menentang pemain Taiwan Lin Chun Yi pada pusingan kedua kejohanan Perodua Malaysia Master 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil hari ini. Atlet negara tewas dengan keputusan 21-19, 16-21, 21-15. --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Zia Jia tidak muncul untuk diwawancara di zon campuran, yang merupakan rutin bagi setiap pemain selepas mereka menamatkan perlawanan kerana beliau dipercayai sedang mendapatkan rawatan. 

Kakaknya merangkap pengurus, Lee Zii Yii yang menggantikan Zii Jia dalam sesi wawancara di zon campuran mengesahkan pemain nombor 10 dunia itu mengalami pening kepala dan menjejaskan prestasinya hari ini. 

“Sekarang setiap orang dapat saksikan Zii Jia pening, berdiri pun tak boleh. Minta maaf beliau tidak dapat diwawancara,” Zii Yii said.

Zii Yii mengakui pemain pilihan keempat kejohanan itu agak keletihan selepas bertanding dalam Piala Sudirman di Suzhou, China minggu lepas termasuk perjalanan pergi dan balik. 

Beliau juga berkata keadaan semasa Zii Jia tidak serius dan hanya mengambil ubat panadol untuk merawat pening kepalanya.  

Keputusan hari ini bermakna Zii Jia tersingkir awal sebanyak tiga kali berturut-turut di sini selepas tewas di tangan wakil Indonesia  Shesar Hiren Rhustavito 19-21, 21-19, 16-21 pada pusingan kedua Terbuka Malaysia 2022.

Januari lepas, Zii Jia dikejutkan dalam pusingan pembukaan Terbuka Malaysia 2023 kepada bintang meningkat naik Jepun,  Kodai Naraoka, 21-13, 17-21, 19-21.

Pada masa sama, Zii Yii berkata kontrak jurulatih baharu Zii Jia , Wong Tat Meng adalah sehingga akhir 2024.

Selasa lepas, Pasukan LZJ dalam hantaran di media sosial mengumumkan tugas awal Tat Meng ialah untuk mengadakan sebuah program latihan yang akan dapat membantu Zii Jia mencapai prestasi yang konsisten, meningkatkan ranking dunia dan layak ke Sukan Olimpik 2024. 

Zii Jia beraksi tanpa jurulatih sepenuh masa sejak tidak lagi berada di bawah bimbingan jurulatih dari Indonesia Indra Wijaya, lewat tahun lepas.

 Sementara itu, beregu lelaki profesional negara  Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan beregu Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han, 15-21, 21-12, 21-19 untuk layak ke suku akhir.

Biarpun menewaskan lawan mereka dua kali berturut-turut selepas menang  21-8, 23-21 ke atas wakil Taiwan itu dalam perlawanan ketiga kumpulan pada Piala Sudirman, di Suzhou, China baru-baru ini, Yew Sin berkata Ching Yao-Po Han telah mengkaji permainan mereka yang mengakibatkan wakil Malaysia itu terpaksa bertarung dalam set penentuan. 

Yew Sin-Ee Yi akan bertemu Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae selepas beregu Korea Selatan itu menewaskan wakil Jepun Akira Koga-Taichi Saito, 21-15, 21-17.

Beregu pilihan keenam kejohanan itu akan menyertai dua lagi beregu lelaki negara termasuk Juara Dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta beregu utama wanita kebangsaan  Pearly Tan-M Thinaah di peringkat seterusnya esok.

-- BERNAMA