Elissieball Sedia Mulakan Perjalanan Baharu Untuk Jadi Atlet Para Negara

Elissieball Jonal
03/04/2024 12:44 PM

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Atlet para olahraga meningkat naik Sabah Elissieball Jonal teruja memulakan perjalanan baharu dalam hidupnya meskipun terpaksa meninggalkan kampung halaman dan berjauhan dengan keluarga bagi mengejar cita-cita menjadi atlet negara.

Pemenang pingat emas acara Lompat Jauh Wanita T20 (kecacatan intelektual) temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022 itu berkata beliau menerima tawaran pada awal tahun ini bagi menjalani latihan bersama skuad kebangsaan di ibu negara selepas berakhir Para Sukma 2024 di Sarawak, September depan.

Atlet berusia 20 tahun yang berasal dari kawasan pedalaman di daerah Nabawan, Sabah itu menyifatkan ia sebagai panggilan yang ditunggu-tunggu apatah lagi Sukan Para ASEAN (APG) 2026 di Korat, Thailand semakin menghampiri.

“Dari segi mental dan fizikal saya sudah bersedia...juga bersedia untuk datang ke Semenanjung dan berjauhan dengan keluarga,” kata anak ketiga daripada tujuh beradik itu ketika dihubungi Bernama.

Selain mahu mengharumkan nama Malaysia, Elissieball berkata keputusan yang diambil itu juga bagi membantu meningkatkan taraf kehidupan keluarganya. 

Bagaimanapun Elissieball mahu meninggalkan Negeri Di Bawah Bayu dengan bergaya apabila menyasarkan mempertahankan pingat emas Lompat Jauh Wanita T20 yang merupakan acara kegemarannya pada Para Sukma 2024.

Menurut Elissieball catatan peribadi terbaiknya adalah 4.98 meter (m) yang dilakukan bulan ini sekali gus merupakan peningkatan berbanding lompatan sejauh 4.84m dilakukan ketika menaiki podium pada Para Sukma 2022, selain mengatasi rekod Para Sukma 4.91m.

Atlet yang disifatkan mempunyai potensi besar kerana memiliki kekuatan semula jadi dan komposisi tubuh yang baik itu berkata beliau mahu melakukan lompatan sejauh 5m pada Para Sukma tahun ini yang berkemungkinan besar menjadi penampilan terakhirnya dalam temasya sukan itu.

Catatan peribadi terbaik 4.98m dicipta Elissieball itu tidak kurang hebat berbanding rekod 5.20m dicipta jaguh para olahraga wanita negara Siti Noor Radiah Ismail ketika memenangi gangsa Lompat Jauh Wanita T20 pada Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

-- BERNAMA